UMUM

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Pegawai daerah penggerak RMK-8

BANGI 10 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pegawai daerah berperanan sebagai penggerak kejayaan sesuatu projek terutama yang melibatkan program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, walaupun sektor swasta dianggap sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, mereka masih memerlukan sokongan dan kelulusan daripada pegawai daerah untuk melaksanakan sesuatu projek.

Justeru, tegas beliau, pegawai daerah perlu memastikan semua projek disiapkan secepat mungkin mengikut jadual yang ditetapkan.

Projek-projek ini, katanya, perlu dinilai dan dipantau bagi memastikan segala masalah termasuk mengelak daripada terbengkalai, dapat diatasi.

``Walaupun, kita kata sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, ia tidak bermakna peranan pentadbiran daerah kecil.

``Justeru, saudara-saudara menjadi pemangkin supaya kerja-kerja dilaksanakan secepat mungkin dan saudara juga penggerak untuk membolehkan kerja itu berjalan,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Sesi Dialog Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Seluruh Malaysia 2001 di Hotel Equatorial di sini, hari ini.

Persidangan selama tiga hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya, Selasa lalu.

Menurut Abdullah, beliau berharap motivasi yang terhasil daripada persidangan itu dapat dimanfaatkan oleh pegawai daerah bagi memastikan wawasan untuk menjadikan pentadbiran daerah yang dinamik dan menghasilkan kejayaan tercapai.

Dalam hubungan ini, katanya, mereka perlu berusaha keras memastikan segala masalah yang boleh menyekat kejayaan projek ditangani sebaik mungkin.

``Saudara-saudaralah yang bekerja dan dengan itu laksanakanlah dengan rasa tanggungjawab.

``Apa-apa masalah yang tidak dapat diatasi di daerah bawalah ke peringkat atas. Cuma kita tidak mahu bila ada masalah sikit serah kepada Menteri Besar, serah kepada Perdana Menteri, cuba dan seboleh-bolehnya cubalah (selesaikan),'' katanya.

Abdullah berkata, saranannya itu sama seperti yang diminta oleh Perdana Menteri yang mahukan segala projek pembangunan disiapkan mengikut jadual.

``Kita tidak mahu projek menjadi terbiar sebaliknya biarlah ia dapat dilaksanakan lebih awal,'' katanya.

Tegasnya, kemampuan dan kecekapan pentadbiran daerah penting untuk menjayakan setiap projek termasuk dasar baru yang ada hubungkait dengan penggunaan alat multimedia dan teknologi maklumat.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum