UMUM

Utusan Malaysia 20 april 2001

Konsulat kita di Pontianak diarah tutup serta-merta

Oleh: MARZUKI YUSOFF dan HAMDEN RAMLI
KUALA LUMPUR 19 April - Pejabat konsulat Malaysia di Pontianak diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan ahli keluarga mereka diarah meninggalkan wilayah itu berikutan ancaman penduduk untuk menyerang bangunan tersebut.

Ancaman itu dipercayai berpunca daripada kemarahan rakyat tempatan terhadap insiden-insiden melibatkan pembantu rumah berasal dari Kalimantan yang berlaku di Sarawak.

Serentak itu Kementerian Luar hari ini mengarahkan penutupan sementara konsulat Malaysia berkenaan berkuat kuasa serta- merta sebagai langkah pencegahan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kementeriannya juga telah mengambil tindakan memindahkan ahli-ahli keluarga para pegawai di konsulat Malaysia itu.

Menurut beliau, tindakan itu juga diambil setelah konsulat Malaysia berkenaan dinasihatkan supaya memindahkan segera ahli keluarga pegawai-pegawai konsulat demi keselamatan mereka.

``Atas nasihat ini, kementerian telah mengambil tindakan memindahkan sembilan orang ahli keluarga ke Kuching dan empat orang lagi ke Kuala Lumpur dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),'' katanya kepada para pemberita dilobi Parlimen, hari ini.

``Kita juga menerima laporan di mana lapan buah kereta dan sebuah bas membawa rakyat Malaysia yang dalam perjalanan ke Pontianak telah ditahan,'' katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, tidak ada laporan mengenai kecederaan atau kematian melibatkan rakyat Malaysia di wilayah itu setakat ini.

Menurut Syed Hamid, langkah drastik yang diambil itu adalah tindakan sementara dan konsulat akan beroperasi sepenuhnya apabila keadaan keselamatan kembali pulih.

Ditanya sama ada tindakan kementerian itu ada kaitan dengan konflik berdarah yang tercetus antara kaum Dayak dan Madura, beliau berkata, faktor itu turut diambil kira walaupun keadaan di wilayah itu sudah terkawal.

Kata beliau, kementeriannya bagaimanapun masih menempatkan tiga kaunselor di pejabat untuk melaporkan keadaan semasa kepada kedutaan Malaysia di Jakarta dan Wisma Putra.

``Walaupun kita menutup sementara pejabat konsulat, keadaan adalah terkawal. Tidak ada masalah kerana kita telah diberitahu awal. Jadi kita ambil langkah pencegahan dengan memindahkan kaum keluarga dan menempatkan tiga kaunselor untuk membuat laporan,'' katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan dahulu perjalanan ke Kalimantan Barat sehingga ada jaminan mengenai keselamatan mereka.

Menurut Syed Hamid, tindakan berjaga-jaga turut dilakukan di pejabat konsulat Malaysia di Medan berikutan ancaman demonstrasi oleh persatuan nelayan dari wilayah berkenaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum