UMUM

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Malaysia rasional tentang ketidakadilan - Castro


DR. MAHATHIR Mohamad bersama-sama Fidel Castro di pekarangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. - Gambar HANAFI KHAMIS.

KUALA LUMPUR 11 Mei - Presiden Cuba Fidel Castro berkata Malaysia ialah sebuah negara rasional yang menentang ketidakadilan dalam sistem antarabangsa bagi mempertahankan integriti ekonomi.

Beliau menyifatkan Cuba dan Malaysia sebagai dua `penentang' yang berjaya mencapai kemajuan walaupun menentang sistem itu.

Beliau menarik perhatian tentang bagaimana tidak meminta bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) semasa menghadapi krisis kewangan sedangkan beberapa negara yang menghadapi masalah yang serupa berbuat demikian.

Beliau berkata negara-negara berkenaan sekarang mendapati syarikat dan institusi kewangan mereka dikuasai oleh rakyat asing kerana meminta bantuan IMF.

``Di Amerika Latin, kita memerlukan semangat seumpama ini untuk mencapai kejayaan,'' kata beliau pada ceramah umum mengenai Globalisasi dan Keadaan Antarabangsa anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri di sini hari ini.

Castro memuji Malaysia kerana mengekalkan kadar pertumbuhan yang tinggi sejak 15 tahun lalu kecuali bagi 1999 ketika menghadapi krisis kewangan di ramntau itu.

Presiden Cuba itu tiba di sini awal hari ini untuk lawatan tiga hari.

Castro yang menyentuh panjang lebar mengenai globalisasi dan neo-liberalisme berkata globalisasi telah menimbulkan keadaan huru-hara yang menyebabkan negara-negara membangun tersepit.

Beliau berkata sebab itulah Cuba tidak menyokong cadangan Amerika bari-baru ini untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas Amerika (FTAA) yang jika dilaksanakan adalah berupa `menguasai' kebanyakan negara miskin di Amerika Latin oleh Amerika.

``Cuba bayangkan jika kuasa besar diletakkan bersama sesetengah negara miskin di dunia secara sama rata, kesannya tentu buruk.''

Beliau berkata ini kerana syarikat-syaikat asing yang kaya terutama firma Amerika lambat-laun akan menjadi pemilik syarikat atau industri di seluruh negara-negara Amerika Latin.

``Pelancong akan datang dengan kapal mewah Amerika, menginap di hotel-hotel milik Amerika, bersarapan di restoran Amerika dan membeli barangan buatan industri Amerika. Itulahlah kesannya jika kita terikat dengan perjanjian itu (FTAA)," kata beliau.

Pada awal ceramah itu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang mempengerusikan sesi itu, secara berseloroh berkata pemimpin Cuba itu hanya mempunyai masa setengah jam untuk berceramah, dan disambut gelak-ketawa daripada para hadirin kerana Castro memang cenderung membuat ucapan yang panjang-lebar.

Castro juga mengkritik sistem yang diamalkan oleh sesetengah negara yang menurut beliau boleh memberi kesan buruk kepada negara-negara miskin.

Beliau berkata idea bagi penubuhan mahkamah undang-undang antarabangsa memang baik tetapi ia tidak harus berada di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu kerana kemungkinan keputusannya dibatalkan oleh negara-negara yang mempunyai kuasa veto. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum