UMUM

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Kerajaan sedia timbang tubuh majlis perundingan perpaduan

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya sebuah majlis perundingan perpaduan peringkat nasional ditubuhkan bagi menangani isu-isu berkaitan perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak pernah menutup fikiran untuk mempertimbangkan idea-idea yang baik demi kemajuan negara ini.

Menurutnya, cadangan Suhakam itu akan dirujuknya kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

``Ada juga jawatankuasa-jawatankuasa yang telah bergerak pada peringkat kementerian beliau.

``Kita akan tahu apakah cara yang digunakan sekarang baik atau kurang baik. Tetapi, yang pentingnya kita terbuka fikiran sekarang ini, apakah ada kemajuan dan jika tidak, cari peluang untuk memperbaikinya,'' ujar beliau.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Musa Hitam semalam, supaya sebuah majlis atau suruhanjaya ditubuhkan untuk menanganinya dengan berkesan dan komprehensif.

Cadangan Musa itu sama seperti pembentukan majlis perundingan selepas tragedi 13 Mei 1969 untuk menggalakkan perpaduan nasional di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Sementara itu, mengenai keputusan pendakwa raya menggugurkan baki lima pertuduhan jenayah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah berkata, ia biasa berlaku di mana-mana negara pun.

Katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim sudah menjelaskan bahawa keputusan pendakwa raya itu bukan sesuatu yang aneh atau tidak biasa berlaku.

``Keputusan itu pun bukan tindakan yang luar biasa dan ia biasa berlaku di mana-mana,'' kata beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum