UMUM

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Pegawai kerajaan diarah baiki pentadbiran kewangan

KUALA TERENGGANU 14 Mei - Kerajaan mengarahkan para pegawainya memperbaiki kelemahan pentadbiran kewangan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan program Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kelemahan itu kerap mendapat teguran pihak audit dan ia perlu diatasi dengan mempertingkatkan kecekapan pentadbiran.

Katanya, teguran pihak audit itu perlu dijadikan panduan untuk memastikan pengurusan berjalan lancar kerana kerajaan mahukan projek yang dirancang berjalan dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.

``Kita mahu projek yang ditetapkan dilaksanakan secepat mungkin demi kepentingan rakyat sama ada projek pendidikan, kesihatan, ekonomi dan infrastruktur, '' ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan para pegawai kerajaan di Hotel Grand Continental di sini hari ini.

Abdullah juga mengingatkan agar pembayaran kepada kontraktor atau pembekal mesti dibuat dengan cepat dan tidak menampakkan ia sengaja dilengah-langahkan.

``Kalau kita lengah, akan ada andaian oleh pihak-pihak tertentu nanti kononnya disebabkan kita ingin mendapat habuan sebelum pembayaran dibuat. Kita tak mahu kita ini dianggap begitu.

``Oleh sebab wang dah ada, jika kerja dah selesai dan bil dikemukakan, maka bayarlah dengan cepat agar pihak kontraktor tidak hadapi masalah dan wang boleh digunakan untuk membiayai projek mereka yang lain,'' ujar beliau.

Katanya, di samping itu juga, prosedur kerja mesti dipatuhi dan melalui sistem pemantauan projek yang diperkenalkan para pegawai perlu memberi keutamaan terhadap pemantauan projek yang sedang dilaksanakan.

``Ia perlu kerana apa yang dilaksanakan oleh kontraktor atau pembekal dijalankan mengikut jadual dan menetapi spesifikasi,'' ujarnya.

Ditanya mengenai masalah yang mungkin dihadapi di negeri yang di bawah pemerintahan Pas berhubung dengan kelewatan mendapatkan kelulusan tanah untuk pelaksanaan projek beliau berkata, jika ia sengaja dilengah-lengahkan ia suatu yang menyedihkan.

``Jika ini berlaku, ia amat mendukacitakan. Kelulusan tanah untuk pelaksanaan projek adalah demi kebaikan rakyat. Jika ia tergendala, yang merasai kerugian adalah rakyat.

``Apa yang kita boleh buat jika ia sengaja dilengah-lengahkan, tetapi kita tetap meminta agensi-agensi kerajaan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan itu,'' ujar beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum