UMUM

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Sikap `Tidak Boleh' perlu dirubah - PM

PUTRAJAYA 14 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad optimis orang Melayu boleh maju setanding dengan kaum-kaum lain jika mereka sanggup mengubah sikap ``tidak boleh'' dalam melakukan sesuatu perkara.

Tegasnya, orang Melayu hanya perlu berusaha untuk melakukan sesuatu secara berulang kali bagi membolehkan mereka mendapat kemahiran dalam bidang tertentu.

``Saya sudah kaji dari kecerdasan otak, saya dapati orang Melayu sama sahaja seperti orang Cina.

``Saya berpendapat kegagalan kita ialah kerana sikap kita tidak berpegang kepada nilai hidup murni iaitu disiplin,'' katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dengan 500 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di sini, hari ini.

Dr. Mahathir menarik perhatian, baru-baru ini ada perdebatan mengenai pencapaian orang Melayu dengan kaum Cina yang dikatakan banyak pihak menampakkan jelas kemunduran orang Melayu.

Pihak terbabit, katanya, mempersoalkan mengapa orang Melayu ramai yang gagal dalam bidang pelaburan, perusahaan dan perniagaan sedangkan mereka meliputi 54 peratus keseluruhan penduduk berbanding 26 peratus kaum Cina.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir turut menyentuh mengenai keamanan negara yang bergantung kepada kesanggupan rakyat termasuk bekas anggota pasukan keselamatan untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya, bekas tentera misalnya masih berperanan secara langsung dan tidak langsung dalam aspek ini dengan memastikan mereka sentiasa bersedia menyertai sebarang pasukan keselamatan.

Tanpa komitmen ini, tegas beliau, adalah sukar bagi kerajaan untuk menghadapi penjajahan era baru yang tidak lagi memerlukan penaklukan tentera sebaliknya cukup dengan menyerang mata wang sesebuah negara seperti ringgit.

``Jika kita tidak sanggup menjaga keamanan negara, kita akan miskin yang menyebabkan timbul banyak masalah seperti hilang kemerdekaan.

``Oleh itu, selepas bersara tidak bermakna khidmat kita (bekas tentera) tidak lagi diperlukan. Sebaliknya, ia perlu apabila `sesuatu berlaku' dengan mengambil mereka yang terlatih menganggotai badan-badan yang menjaga keselamatan,'' katanya.

Menurut Perdana Menteri, kadangkala ada pihak beranggapan kerajaan seolah-olah tidak lagi memberi perhatian dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh bekas tentera.

Dakwaan itu, tegas beliau, tidak benar kerana kerajaan memang terhutang budi kepada jasa mereka.

``Kerajaan ingin menolong mereka yang bersara dan kita mempunyai banyak rancangan untuk membantu tetapi adakalanya gagal.

``Mungkin kerana usaha kerajaan tidak berkesan tetapi ada kegagalan berlaku kerana mereka yang baru bersara sukar untuk menyesuaikan diri sebagai orang awam untuk melakukan kerja yang berlainan ketika dalam tentera,'' katanya.

Di sinilah, kata Dr. Mahathir, amalan disiplin yang dipraktikkan semasa berkhidmat dalam ketenteraan penting terutama bagi mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan.

``Disiplin bermakna mengawal nafsu supaya tidak menguasai kita.

``Jika dapat dibendung nafsu kerana disiplin ini, saya yakin kita akan maju selepas bersara,'' katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang ditemui pemberita selepas itu berkata, bayaran pencen tidak diberikan kepada anggota tentera yang bersara sebelum mencapai perkhidmatan 21 tahun.

``Sebabnya, dia bersara lebih awal iaitu umurnya 40 tahun sedangkan umur persaraan ialah 55 tahun.

``Tambahan pula ada antara mereka mendapat kerja lain, iaitu yang berpencen juga,'' katanya.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum