UMUM

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Kolej Komuniti: Kabinet setuju serah kepada 11 kontraktor

MELAKA 16 Mei - Isu tuntutan bayaran kemajuan pembinaan Kolej Komuniti oleh 11 kontraktor bernilai RM75 juta selesai, apabila kabinet yang bermesyuarat hari ini bersetuju menyerahkan projek tersebut kepada kontraktor terbabit.

Sumber Kementerian Pendidikan memberitahu kesemua kontraktor tersebut akan meneruskan projek berkenaan yang ada di antaranya sudah 85 peratus siap tetapi terbengkalai sejak sebulan lalu, ekoran masalah pembayaran itu.

``Isu ini sudah selesai, Kita (kementerian) akan bagi kontrak kepada 11 kontraktor terbabit. Jadi kesemuanya akan meneruskan projek (masing-masing),'' kata sumber berkenaan kepada Utusan.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, ketika ditemui di sini, malam ini enggan mengulas mengenai keputusan itu.

Bagaimanapun menurutnya, beliau akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan mengenainya, esok.

Isu tuntutan bayaran kemajuan untuk pembinaan projek Kolej Komuniti oleh 11 kontraktor menemui jalan buntu apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim, semalam menegaskan pihak kementerian tidak mengiktiraf kerja- kerja mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Amar Md.

Din memberitahu kesemua kontraktor terlibat melaksanakan kerja tersebut selepas menerima surat hasrat daripada kementerian.

Isu itu dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembina Kolej Komuniti, Bahari Abdullah apabila mendakwa Kementerian Pendidikan gagal membuat bayaran kemajuan sedangkan kerja- kerja telah dilaksanakan.

Pada sidang akhbar di Seremban 11 Mei lalu, Bahari berkata, bayaran kemajuan RM75 juta itu meliputi bayaran syarikat perunding, pembelian bangunan dan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berdasarkan kepada spesifikasi kementerian.

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum