UMUM

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Perluas penggunaan bahasa Melayu - TPM


ABDULLAH bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd. Yassin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali berbual dengan pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap lebih ramai penulis muda yang memiliki hasil penulisan yang bermutu dan idea-idea yang baik akan muncul untuk mengembangkan lagi penggunaan bahasa Melayu.

Katanya, sastera bahasa Melayu bukan sahaja untuk menunjukkan keindahan atau untuk mengisahkan sesuatu cerita sahaja, tetapi ia juga boleh digunakan untuk menyampaikan idea-idea yang kompleks.

Beliau berkata, kerajaan mengakui bahawa sastera negara yang menceritakan mengenai sejarah dan kekayaan negara harus ditulis dalam bahasa Melayu bagi menggambarkan suasana secara lebih tepat.

``Tetapi kita juga mahu rakyat Malaysia menikmati hasil sastera negara lain yang kaya dengan idea berguna,'' katanya dalam ucaptama majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 29 penulis menerima anugerah menerusi lima kategori hadiah yang dipertandingkan.

Kategori-kategori yang dipertandingkan ialah kategori Cerpen Remaja, Puisi, Cerpen, Novel Remaja dan Kritikan Sastera.

Kumpulan Utusan bersama-sama Public Bank Berhad telah menganjurkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Public Bank sejak tahun 1984 bagi menghargai usaha para penulis tempatan yang menyemarak dan memperagakan penulisan dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, Kumpulan Utusan terpaksa menganjurkan Hadiah Sastera itu secara bersendirian selepas Public Bank menarik diri menjadi penganjur bersama tahun ini.

Perakuan kerajaan itu, menurut Timbalan Perdana Menteri digambarkan melalui kesediaan memberikan Anugerah Sasterawan Negara.

Menurut beliau, buku-buku yang ditulis oleh sasterawan boleh mencetuskan semangat baru dengan niat untuk membela sesuatu kumpulan atau menggerakkan tenaga untuk satu perjuangan.

Katanya, masalah dan harapan dalam perjuangan generasi semasa yang digambarkan melalui karya sastera boleh digunakan sebagai panduan oleh generasi akan datang.

``Kita tidak mahu generasi akan datang terpisah dari pengaruh budaya bangsa kita sendiri memandangkan kita sekarang berada dalam waktu transisi yang hebat, mungkin 20 atau 30 tahun lagi mereka akan dibesarkan dalam suasana yang berlainan langsung,'' tambahnya.

Abdullah berkata, tumpuan negara terhadap bidang-bidang teknikal dan saintifik mungkin menyebabkan rakyat negara ini terlupa untuk menghargai kesenian yang dibawa oleh karya-karya sastera.

``Alangkah baiknya kalau kita kenakan dalam syarat-syarat untuk lulus pengajian (tinggi) tanpa mengira sama ada pelajar itu dalam bidang kejuruteraan atau bidang teknikal yang lain, perlu mengambil satu subjek berkaitan bangsa kita iaitu sastera,'' katanya.

Abdullah dalam pada itu turut memuji komitmen berterusan Kumpulan Utusan mengiktiraf para sasterawan dan penulis tempatan yang memartabatkan kesusasteraan bahasa Melayu.

Abdullah berkata, kesediaan Kumpulan Utusan selaku sebuah organisasi media untuk menghargai karya penulisan yang bermutu dengan memberikan pelbagai hadiah dan anugerah kepada para penulis merupakan perkembangan membanggakan.

``Walaupun telah 16 tahun, Kumpulan Utusan masih lagi bersemangat tanpa mengenal jemu dan letih (memberi penghargaan kepada para penulis),'' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd. Yassin dalam ucapannya berkata, penggunaan bahasa Melayu oleh orang ramai masih belum memuaskan walaupun ia diiktiraf sebagai bahasa rasmi oleh Perlembagaan.

Bagi membolehkan bahasa Melayu selaku juadah rohani tamadun Malaysia berkembang dengan baik, himpunan sastera dalam semua genre perlu diusahakan bersama oleh penulis, penaung sastera dan warga korporat, katanya.

``Para penulis yang berbakat hendaklah dirangsang untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi sambil penaung dan warga korporat pula patut memberi apa jua sumbangan yang termampu bagi menjayakan cita-cita bangsa dan negara,'' tambahnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Pengarah Eksekutif Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Roselina Johari.

Oleh: MOHD. ASUKI ABAS dan SAIFULIZAM MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum