UMUM

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Boleh mengundi selepas tiga bulan mendaftar

PUTRAJAYA 17 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminda peraturan bagi membolehkan seseorang individu itu mengundi tiga bulan selepas mendaftar sebagai pengundi berbanding paling awal lapan bulan pada masa ini.

Pengerusinya Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman berkata SPR berharap pindaan terhadap peraturan daftar pengundi yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) dapat dilaksanakan mulai April tahun depan.

"Kadang-kadang seseorang itu tidak dapat mengundi walaupun telah mendaftar lebih setahun berikutan beberapa kelewatan dalam proses semakan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR di sini hari ini selepas dikunjungi tiga anggota Parlimen DAP terdiri Dr. Tan Seng Giaw (Kepong), Tan Kok Wai (Cheras) dan Teresa Kok (Seputeh).

Abdul Rashid berkata draf pindaan itu telah siap dan akan diserahkan kepada kabinet tidak lama lagi.

Katanya cadangan terhadap pindaan itu dilakukan selepas mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dengan mengadakan sistem online mengenai semakan daftar pengundi bermula tahun lepas.

"Dengan adanya sistem online ini, maka proses semakan untuk tentukan kelayakan pengundi dapat dilakukan dengan cepat selain dapat pastikan pengundi yang namanya berdaftar masih hidup," katanya.

Tahun lepas, sebanyak 750,000 nama dikeluarkan daripada senarai kelayakan mengundi kerana pelbagai sebab dan 20 peratus daripadanya merupakan pengundi yang sudah meninggal dunia.

Katanya, beberapa pindaan juga akan dilakukan terhadap Akta Pilihan Raya 1958 yang mempunyai tiga akta berbeza bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kita nak adakan hanya satu akta (Akta Pilihan Raya)," katanya.

Pindaan-pindaan itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Julai ini selepas diluluskan kabinet, katanya.

Mengenai pindaan lain, Abdul Rashid berkata SPR mencadangkan untuk meminda peraturan berkaitan penamaan calon bagi membolehkan bakal-bakal calon hadir pada hari berlainan.

"Sekarang ini apabila calon-calon hadir, pusat penamaan calon akan terlampau sesak dengan kadang-kadang ketegangan ditimbulkan oleh para penyokong dan kita mencadangkan supaya calon dapat hadir pada hari berbeza. (Dengan itu) hari penamaan calon bukan hanya satu hari, mungkin beberapa hari yang kita belum tetapkan," katanya.

Abdul Rashid berkata SPR juga bercadang menaikkan jumlah wang pertaruhan bagi memastikan calon yang bertanding benar-benar serius dan tidak mahu kehilangan wang pertaruhan mereka.

"Sekarang ini nampaknya ada banyak calon yang tidak serius," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah kenaikan yang dicadangkan.

Peraturan sedia ada memperuntukkan supaya calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen membayar wang pertaruhan sebanyak RM5,000 dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri sebanyak RM3,000.

Mengenai persediaan pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi, Abdul Rashid berkata SPR sudah selesai mengadakan mesyuarat dengan semua ketua jabatan dua hari lepas.

"Mereka dah bersedia. Peringkat seterusnya ialah melatih pegawai pilihan raya di peringkat bawah yang akan bermula Jun," katanya.

Abdul Rashid juga berkata, setakat ini hanya 7,000 pengundi mendaftar sejak urusan pendaftaran dan semakan daftar pemilih bagi tahun ini bermula 2 Mei lepas.

"Kita harap apabila kita mulakan sistem baru yang membolehkan agensi seperti Pejabat Pos, Jabatan Pendaftaran Negara, Pejabat Daerah dan agensi lain yang mempunyai cawangan di seluruh negara menerima pendaftaran pengundi, lebih ramai akan tampil untuk mendaftar," katanya.

Pendekatan itu akan dimulakan tahun depan, katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum