UMUM

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Tol lebuh raya bertingkat diumum minggu depan


WARGA kota mula menggunakan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur yang mula dibuka kepada umum Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kerajaan akan mengumumkan kadar tol Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur yang dibuka hari ini pada minggu depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, tol akan dikutip mulai 1 Julai ini iaitu selepas penggunaan laluan berkenaan secara percuma selama sebulan.

Menurut beliau, kertas kerja mengenai tol lebuh raya berkenaan telah pun dihantar kepada jemaah menteri dan kerajaan akan mengumumkan kadar tol yang akan dikenakan selepas membuat pertimbangan mengenainya.

Beliau memberitahu, kini pandangan daripada semua pihak sedang dikaji termasuk cadangan orang ramai.

``Kadar tol yang dicadangkan sebelum ini ialah RM2.50 tetapi kadar itu belum ditetapkan lagi dan kerajaan diminta mempertimbangkan semula kadar tol tersebut pada kadar yang munasabah.

``Biasanya kadar tol yang ditetapkan adalah berdasarkan kepada kos pembinaan lebuh raya dan membolehkan pemajunya mampu membayar faedah yang dikenakan oleh bank,'' jelasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur yang merupakan lebuh raya bertingkat pertama di negara ini, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Projek Lintasan Kota Sdn. Bhd. (Prolintas), Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid; Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Ampang Jaya, Datuk Ong Tee Keat.

Prolintas akan membuat kutipan di lebuh raya itu selama 33 tahun.

Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur sepanjang 7.9 kilometer itu menelan belanja sebanyak RM754 juta dan dibina dengan teknologi tinggi dan reka bentuk moden.

Laluan berkenaan dibuka kepada orang ramai mulai pukul 5 petang ini. Sebanyak 30,000 kenderaan dianggarkan menggunakan lebuh raya berkenaan setiap hari.

Lebuh raya itu mempunyai lima persimpangan bertingkat iaitu di Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Jelatek, Jalan Hulu Kelang dan Jalan Ampang.

Orang ramai hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke pusat bandar dari Ampang atau sebaliknya berbanding 45 minit jika melalui jalan lama.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum