UMUM

Utusan Malaysia 21 april 2001

Kerajaan jaga kebebasan semua

KOTA BHARU 20 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, laporan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) adalah pandangan Suhakam tetapi kerajaan juga mempunyai tanggungjawab dan pandangan sendiri.

``Sebab itu kita menjaga kebebasan (semua) orang. Kita tidak boleh mengutamakan satu kebebasan kepada satu kumpulan orang yang hendak berdemonstrasi.

``Kalau hendak berdemonstrasi di tengah laut pergilah tak apa, jangan kacau orang,'' kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2001 peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Suhakam dalam laporan tahunannya, agar peraturan tertentu ditetapkan bagi memastikan perhimpunan awam yang dianjurkan oleh mana-mana pihak berlangsung secara aman.

Perdana Menteri juga diminta mengulas laporan berkenaan yang antara lain menyebut terdapat banyak undang-undang di negara ini yang menyekat atau melanggar hak asasi rakyat dan semua undang-undang tersebut perlu dikaji.

Dr. Mahathir menjelaskan, Malaysia adalah negara yang mengikut amalan pilihan raya dalam memilih kerajaan dan rakyat berhak untuk membuat pilihan itu.

``Cara kita ialah mengikut pilihan raya, kalau orang (rakyat) suka kepada kita, dia pilih dan kalau orang tidak suka, dia akan pilih orang lain. Ini tidak, dia tidak puas hati dia nak buat atas jalan,'' tambahnya.

Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat berbuat sesuka hati walaupun negara ini mengamalkan demokrasi.

Katanya, kebebasan yang disalahguna seperti menganjurkan demonstrasi jalanan bukan sahaja akan menjadikan negara ini terancam malah ia menggugat kebebasan orang lain.

``Sementara berpegang kepada demokrasi, tidak bermakna rakyat boleh berbuat sesuka hati. Seperti di satu negara lain, pemimpin dijatuhkan melalui demonstrasi,'' ujarnya.

Katanya, Malaysia bukanlah negara yang mengamalkan cara menjatuhkan pemimpinnya dengan mengadakan pemberontakan dan sanggup berperang seperti yang berlaku di sebuah negara lain.

``Kita pandang itu sebagai tidak baik, kalau mahu diadakan demonstrasi di jalan-jalan bukan sahaja kerajaan terancam tetapi termasuk juga pekedai-pekedai khususnya peniaga kecil,'' jelasnya lagi.

Menurut laporan tahunan pertama Suhakam yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, perhimpunan secara aman hendaklah dibenarkan tetapi ia mestilah diadakan secara teratur mengikut prosedur.

Antara cadangan interimnya ialah permit untuk mengadakan perhimpunan statik di dewan, stadium dan hartanah persendirian dikeluarkan dengan syarat pihak penganjur memberi jaminan perhimpunan itu tidak mengganggu pihak awam.

Dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur semalam, Perdana Menteri mengulangi penegasannya bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan negara terletak di bahu polis dan bukan Suhakam.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum