UMUM

Utusan Malaysia 20 Mei 2001

Bersara sebelum Oktober tidak layak sambung khidmat 56 tahun

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kakitangan kerajaan yang bersara tahun ini tetapi sebelum 1 Oktober tidak berpeluang menyambung perkhidmatan mereka untuk satu tahun lagi.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman berkata, kerajaan telah memutuskan 1 Oktober sebagai bermula umur persaraan baru daripada 55 kepada 56 tahun.

``Kalau tarikh penguat kuasaan bermula 1 Oktober maknanya mereka yang bersara pada tarikh itu dan selepasnya diberi opsyen,'' katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta pertandingan mencari harta karun anjuran Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia di Majlis Perbandaran Selayang di sini.

Kakitangan kerajaan yang genap 55 tahun selepas tarikh 1 Oktober diberi opsyen sama ada bersara atau melanjutkan lagi tempoh perkhidmatan mereka sehingga 56 tahun, kata Samsudin.

Katanya, banyak kakitangan kerajaan yang gembira dengan peluang baru ini berdasarkan reaksi dan maklumat balas yang beliau terima.

``Kerajaan akan meneliti kesan-kesan yang mungkin timbul selepas umur persaraan baru itu diamalkan,'' katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan 1 Oktober sebagai tarikh berkuat kuasa umur persaraan baru apabila Akta Pencen 1980 dipinda di Parlimen pada Julai akan datang.

Umur persaraan baru itu telah diperjuangkan oleh CUEPACS sejak beberapa tahun lepas yang mencadangkan agar kakitangan awam bersara pada umur 60 tahun.

Pertandingan mencari harta karun itu menawarkan hadiah bernilai RM3,000 kepada pemenang utama dan disertai 300 orang kakitangan kerajaan dan swasta. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum