UMUM

Utusan Malaysia 20 Mei 2001

Kaum lemah terus dibantu - PM

JOHOR BAHRU 19 Mei - Kerajaan akan terus membantu kaum-kaum tertentu kerana mereka mempunyai kelemahan dan kekurangan berbanding kaum-kaum lain di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, jika kerajaan dilihat cenderung membantu atau memberi keistimewaan kepada satu-satu kaum sahaja, ia tidak bermakna kerajaan bersikap pilih kasih terhadap kaum itu.

``Ini adalah disebabkan kaum tersebut memerlukan perhatian atau tumpuan yang lebih daripada kerajaan,'' kata beliau ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-55 yang bermula di sini pagi ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan kaum yang mempunyai kelemahan itu memperbaiki sendiri nasib mereka kerana sudah terbukti kaum itu tidak berkemampuan dan tidak berpeluang menangani masalah mereka.

Katanya, golongan itu masih memerlukan pertolongan dan perhatian serius kerajaan.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik; Presiden Gerakan, Datuk Seri. Dr. Lim Kheng Yaik dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Tambah Dr. Mahathir, dasar kerajaan ialah memastikan tiada mana-mana kaum di negara ini ketinggalan atau terpinggir berbanding kaum yang lain dalam arus pembangunan sosioekonomi kemajuan negara.

Beliau menjelaskan, kedudukan yang tidak seimbang antara kaum dalam apa juga bidang, terutama sosial dan ekonomi akan mencetuskan masalah pergeseran atau pertelingkahan antara kaum.

``Kita telah mengalami keadaan yang tidak seimbang ini.

``Ia hampir menjerumuskan negara kita ke arah kehancuran dan kemusnahan akibat perbalahan kaum yang berpunca daripada pembahagian harta kekayaan negara yang tidak seimbang.

``Saya berharap setiap kaum di negara ini dapat memahami kedudukan ini kerana ia penting kepada keamanan dan kemajuan negara kita di masa depan,'' ujarnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan serius dalam usahanya untuk memperbetulkan masyarakat di negara ini agar sama-sama dapat menikmati kemajuan dan kemakmuran negara.

``Kita tidak mahu melihat rakyat kita dibahagi-bahagikan atau dipecah-pecahkan mengikut status sosial dan ekonomi mereka,'' tegasnya.

Menurut Perdana Menteri, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) dan Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) semuanya dirangka untuk memperbetulkan kepincangan sosial dan ekonomi dalam masyarakat.

Dr. Mahathir menambah, jika DEB dan DPN memberikan penekanan kepada kaum Bumiputera dalam memperbaiki kedudukan sosial dan ekonomi mereka, RRJP3 dan RMK-8 turut memberi perhatian khas kepada kaum India selain kaum-kaum lain.

Beliau menambah, dalam kedua-dua rancangan itu kerajaan menyebut secara khusus bahawa kaum India diberikan tumpuan istimewa dalam mendapatkan peluang pembangunan seperti kemudahan-kemudahan asas dan ekonomi.

``Dalam hubungan ini, semua pihak harus bersungguh-sungguh, jujur dan proaktif dalam usaha melaksanakan program-program yang telah disusun oleh kerajaan,'' katanya.

Justeru kata Perdana Menteri, sebagai rakyat Malaysia semua kaum harus terus memelihara perpaduan dan keamanan negara ini.

``Dengan adanya semangat toleransi dan saling memahami mudahlah kita mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam pertelingkahan kaum,'' katanya.

Beliau mengingatkan agar semua kaum di negara ini memelihara keamanan negara dan jangan mudah termakan hasutan orang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan perpaduan negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum