UMUM

Utusan Malaysia 20 Mei 2001

Keseimbangan antara kaum di sektor awam membimbangkan

JOHOR BAHRU 19 Mei - Keseimbangan antara kaum dalam sektor awam berada di paras membimbangkan ekoran golongan bukan Melayu tidak berminat untuk berkhidmat di sektor itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun kerajaan cuba untuk menentukan agar semua kaum di negara ini diwakili dalam semua sektor sama ada awam atau swasta, tetapi kekurangan golongan bukan Melayu dalam sektor awam amat ketara.

``Kita merasa sedikit bimbang kerana dalam sektor awam golongan bukan Melayu, iaitu Cina tidak cukup dan India juga tidak cukup.

``Kebiasaannya kita mempunyai sekurang-kurangnya seorang India sebagai Ketua setiausaha dalam sebuah kerajaan, tetapi sekarang adalah terlalu sukar untuk mendapatnya kerana tidak ramai yang menyertai perkhidmatan awam dan jika adapun mereka tidak tunggu sehingga bersara,'' katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, dari segi lain perwakilan daripada semua kaum adalah seimbang terutama dalam bidang diplomatik.

``Tetapi kita kecewa tidak ramai kaum lain yang menyertai tentera atau polis,'' katanya.

Ujarnya, keseimbangan kaum juga bukan sahaja perlu dalam sektor kerajaan tetapi sektor swasta yang di mana syarikat perlu menyeimbangkan pekerjanya dari segi kaum.

Katanya, usaha untuk menyeimbangkan kaum dalam sektor-sektor berkenaan agak rumit kerana mentaliti rakyat di negara ini ialah orang Melayu menyertai kerajaan manakala bukan Melayu masuk swasta.

Selain itu, kata beliau, orang Melayu juga terlalu bergantung kepada kuota bumiputera terutamanya dalam kemasukan ke universiti-universiti kerajaan.

``Mereka ini tidak dapat kelayakan secukupnya untuk masuk ke universiti swasta kerana yuran yang tinggi tetapi kerajaan sedia memberikan subsidi jika mereka masuk ke universiti dengan syarat perlu mempunyai kelayakan sewajarnya,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum