UMUM

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Pusat maklumat pemandu ditubuh

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kerajaan akan menubuhkan Pusat Rujukan Maklumat untuk pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam bagi membolehkan majikan mengetahui rekod peribadi seseorang pemandu sebelum mengambil mereka sebagai pekerja.

Pusat di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan itu turut dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Kesihatan.

Ia dijangka beroperasi Jun ini selepas pelantikan pengerusi pusat itu dibuat dan Ketua Trafik Persekutuan, Senior Asisten Komisioner II Ahmad Bahrin Idrus dijangka dilantik mempengerusikannya.

Beberapa mesyuarat jawatankuasa kerja dikatakan telah diadakan antara agensi-agensi berkenaan bersama persatuan pemandu-pemandu kenderaan terbabit dan pusat itu dijangka akan beroperasi Jun ini.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Abd. Whahid Selamat berkata, dengan adanya pusat itu syarikat-syarikat pengangkutan awam dan perdagangan akan menghantar nama bakal pekerja mereka kepada JPJ untuk membuat semakan.

Katanya, setiap permohonan yang diterima akan diserahkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk mengesan sama ada seseorang itu pernah mempunyai rekod jenayah atau terlibat dengan penagihan dadah.

``Selepas itu, kita akan menyerahkannya semula kepada syarikat terbabit dan terpulang kepada mereka sama ada untuk mengambil orang yang berkenaan sebagai pekerja atau tidak.

``Ini adalah sukarela tetapi baik untuk kepentingan industri berkenaan bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan ia diwajibkan pada masa depan,'' katanya kepada Mingguan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Etika Pemanduan Berhemah Ke Arah Peningkatan Kualiti dan Produktiviti anjuran Persatuan Kebajikan Kakitangan dan Tenaga Pengajar Kenderaan Darat Wilayah Persekutuan (Pertekad).

Abd. Whahid berkata demikian sebagai mengulas tindakan yang akan dilaksanakan oleh JPJ untuk mengesan para pemandu kenderaan komersial yang terlibat dalam penggunaan pelbagai jenis dadah.

Pada 17 Mei lalu, Ahmad Bahrin berkata, polis menahan 1,205 pemandu lori dan bas yang diperiksa dalam operasi bersepadu selama tujuh hari di seluruh negara kerana didapati terlibat dengan penggunaan dadah.

``Mereka yang ditahan adalah antara lebih 7,000 pemandu kenderaan komersial yang diperiksa dalam operasi selama tiga hari April lalu dan tiga hari pada bulan ini yang berakhir semalam,'' katanya.

Abd. Whahid berkata, JPJ juga sedang mengadakan tindakan bersepadu di zon Selatan di Johor Bahru untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas pemandu kenderaan komersial.

Katanya, operasi itu akan dijalankan di zon Timur, Utara dan Sabah dan Sarawak secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang terlibat dengan dadah atau pengaruh alkohol kerana ia membahayakan nyawa penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

``Ketua Pengarah JPJ juga mempunyai kuasa untuk membatalkan lesen memandu sesiapa yang didapati penagih dadah mengikut Seksyen 36(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,'' tegasnya.

Dalam masa yang sama, Abd. Whahid mengakui JPJ sedang mengkaji prosedur pemeriksaan kesihatan tahunan yang dijalankan sebagai syarat pemandu berkenaan membaharui lesen vokasional mereka.

``Ia mungkin perlu disertai dengan ujian air kencing untuk mengesan sama ada mereka terlibat dalam penggunaan dadah atau tidak,'' jelasnya.

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum