UMUM

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Media Barat mahu gugat kestabilan negara

Saudara Pengarang,
SAYA telah terbaca beberapa laporan yang tersiar di dalam majalah dan akhbar asing sepanjang dua minggu yang lepas tentang percutian selama dua bulan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Walaupun olahan mereka berbeza, tetapi mesej yang ingin disampaikan oleh semua penerbitan ini sama iaitu untuk menggambarkan seolah-olah adanya perselisihan di antara Tun Daim dan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

Di sinilah terlihat dengan nyata niat jahat media asing tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan negara kita. Bagi saya serta rakyat Malaysia lain, Tun Daim sedang bercuti selama dua bulan.

Namun demikian, beliau berada di pejabatnya setiap hari untuk menghabiskan kerja-kerja kementerian agar tidak tertunggak. Pada masa yang sama, beliau telah menghadiri serta merasmikan beberapa acara rasmi di dalam dan luar negara.

Hakikat ini telah dimaklumkan oleh Dr. Mahathir atau pun Tun Daim sendiri melalui kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan. Semua ini telah pun dijelaskan oleh kedua-dua pemimpin tersebut dalam media tempatan dan pertemuan dengan akhbar.

Namun bagi media asing, inilah peluang sebaik-baiknya untuk mereka merealisasikan dan agenda jahat mereka. Maka isu pertelingkahan Dr. Mahathir-Tun Daim pun berulang lagi.

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa motif di sebalik penyebaran fitnah dan khabar angin sedemikian oleh akhbar, agensi berita serta majalah asing hanyalah semata-mata untuk menggugat kestabilan ekonomi, politik dan sosial yang terdapat di negara ini.

Majallah Far Eastern Economic Review (S. Jayasankaran) pada 17 Mei, Asiaweek (11 Mei), Time (Simon Elegant) 21 Mei serta akhbar Singapore Business Times (Eddie Toh) dan Financial Times semua membuat ramalan yang serupa.

Saya tidak boleh menerima penjelasan bahawa semua ini berlaku secara kebetulan. Yang jelas bagi saya serta rakyat Malaysia ialah kemuafakatan semua media asing ini untuk menjatuhkan ekonomi dan menimbulkan keresahan di kalangan penduduk tempatan.

Harapan mereka jika disebarkan dengan kerap khabar angin ini, lambat laun ia akan menimbulkan kesangsian di kalangan penduduk tempatan yang akhirnya akan mempercayai pembohongan ini. Kesangsian yang ditimbulkan juga diharap akan dapat mempengaruhi pelabur asing agar tidak melabur di negara ini.

Kesemua laporan-laporan yang dihasilkan oleh media asing ini sengaja mengetepikan fakta seperti yang diperjelaskan oleh Dr. Mahathir dan Tun Daim. Sebaliknya media asing masih memutarbelitkan perkataan untuk tujuan berbohong.

Saya yakin rakyat Malaysia tidak akan tertipu dengan helah ini kerana ini bukanlah kali pertama cerita sebegini direka. Kalau hendak diikutkan cerita media asing, selang sebulan Dr. Mahathir akan bergaduh dengan Menteri Kewangan beliau.

Mungkin tiba masanya untuk pihak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan keras terhadap pereka dan penyampai khabar angin ini termasuklah tindakan undang-undang. Kemungkinan pihak berkuasa perlu juga mengurangkan jumlah naskhah untuk dijual atau menggantung penjualan seketika seperti yang berlaku kepada beberapa majalah asing baru-baru ini.

Saya masih ingat lagi bahawa beberapa media asing telah mempersoalkan jumlah kematian yang diumumkan pihak polis semasa kes Kampung Medan tidak lama dahulu. Ini telah menimbulkan keresahan, ketakutan dan kesangsian di Kalangan rakyat. Malah pergaduhan kecil tersebut dibesar-besarkan sehingga dilihat seperti isu perkauman.

Selepas kejadian tersebut, Pemuda UMNO telah membuat laporan polis terhadap media asing yang bertanggungjawab memfitnah dan memecahbelahkan rakyat melalui berita-berita berniat jahat yang diputarbelitkan. Sehingga hari ini saya masih belum terdengar apa-apa berita berkenaan laporan polis tersebut.

Sebagai rakyat Malaysia yang pentingkan perpaduan dan kestabilan, saya harap pihak berkuasa bertindak dengan lebih tegas dan pantas terhadap media asing yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Janganlah dibiarkan gunting dalam lipatan ini terus menerus menggugat kestabilan negara kita yang tercinta. - ROSNAH OSMAN, Kuala Lumpur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum