UMUM

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Kadar tol lebuh raya bertingkat ditetapkan RM1.50

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kerajaan menetapkan RM1.50 sebagai kadar tol sehala Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur untuk kenderaan kelas 1, iaitu kenderaan 2 gandar dengan 3 atau 4 tayar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kadar itu diturunkan sebanyak 40 peratus daripada kadar tol RM2.50 yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 1996 dengan pemegang konsesi lebuh raya itu, Syarikat Projek Lintasan Kota Sdn Bhd.

Kerajaan juga memutuskan RM3 sebagai kadar tol untuk kenderaan Kelas 2 (lori-lori 2 gandar), RM4.50 untuk kenderaan Kelas 3 (lori-lori 3 gandar atau lebih), 80 sen bagi kenderaan Kelas 4 (teksi) dan RM1.50 untuk kenderaan Kelas 5 (bas).

"Tarikh kutipan tol, untuk lebuh raya yang jaraknya 7.4 kilometer ini, akan bermula pada 1 Jun," katanya pada sidang media di Kementerian Kerja Raya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan supaya kadar tol ini hanya akan dinaikkan setiap 7 tahun sekali dan bukan 5 tahun seperti yang tertera dalam perjanjian konsesi.

Perjanjian konsesi itu adalah selama 33 tahun dan berikutan penurunan kadar tol daripada kadar yang ditetapkan dalam perjanjian itu, kerajaan terpaksa memberi pampasan sebanyak RM290 juta setahun kepada pemegang konsesi lebuh raya ini.

Beliau berkata, lebuh raya itu menelan belanja RM764 juta dan walaupun kosnya amat tinggi, penurunan kadar tol itu menunjukkan kerajaan amat prihatin dan mengambil berat tentang masalah beban tol ke atas rakyat.

Menurutnya Lebuh Raya Ampang-Kuala Lumpur ini adalah yang tercanggih di negara ini kerana ia dibina secara bertingkat di atas sungai.

"Semasa perasmian (lebuh raya itu pada 16 Mei), saya telah berjanji bahawa kerajaan akan menetapkan kadar tol yang munasabah dan yang tidak membebankan rakyat, khususnya penduduk di sekitar Ampang dan Ulu Kelang yang akan menggunakan lebuh raya ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha menyediakan kemudahan asas seperti lebuh raya dan berharap rakyat dapat memahami bahawa projek seperti itu perlu dilaksanakan secara penswastaan kerana kerajaan tidak dapat menyediakan peruntukan yang begitu banyak untuk semua projek pembangunan.

"Bagaimanapun, kementerian ini akan sentiasa memastikan kadar tol yang dikenakan tidak akan membebankan rakyat," katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum