UMUM

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Klinik Guaman Perumahan bantu pembeli hadapi masalah

KUALA LUMPUR 24 Mei - Orang ramai khususnya yang berpendapatan rendah kini boleh mendapatkan bantuan perkhidmatan guaman secara percuma di Klinik Guaman Perumahan (KGP), jika mendapati ditipu oleh pemaju.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, kewujudan KGP memperkuatkan lagi usaha pemantauan ke atas pengadu-pengadu masalah perumahan yang diterima oleh kementerian ini.

Beliau berkata, klinik tersebut yang terletak di bahagian pengawasan dan penguat kuasa kementerian itu, dibuka kepada orang awam sebulan sekali pada hari Sabtu minggu kedua.

KGP, katanya, dikendalikan secara sukarela oleh para peguam dan penasihat undang-undang dari Majlis Peguam Malaysia serta institusi pengajian tinggi dan wakil pelesenan kementerian berkenaan.

``Setakat ini sebanyak 25 peguam telah mendaftar sebagai panel klinik ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan klinik tersebut di kementeriannya, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah timbalannya, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Datuk M. Kayveas.

Ong memberitahu, pada masa ini kes-kes perumahan dikendalikan sepenuhnya oleh bahagian pengawasan dan penguat kuasa kementeriannya.

``Setelah tertubuhnya KGP, bahagian ini akan hanya memantau kes-kes aduan berbentuk teknikal sahaja,'' katanya.

Dalam sidang akhbar itu juga, Ong memaklumkan mengenai satu badan yang akan ditubuhkan bagi mengendali dan menyelesaikan kes-kes aduan perumahan.

Katanya, badan yang dikenali sebagai Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah akan diwujudkan sebaik sahaja pindaan kepada Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 diluluskan oleh Parlimen dalam tahun ini.

Tribunal itu katanya, diberi kuasa oleh undang-undang bagi membuat keputusan terhadap tuntutan yang tidak melebihi RM25,000.

Katanya, penyelesaian melalui tribunal dijangka dapat membantu ramai pembeli rumah kerana ia lebih mudah, tidak memakan belanja, tidak melibatkan pelantikan peguam dan proses mahkamah yang panjang.

Oleh: ROSMAH MOHD. DAIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum