UMUM

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

50% peniaga gagal jelas cukai perkhidmatan

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kira-kira 50 peratus peniaga di sektor perkhidmatan seluruh negara yang berpendapatan lebih RM500,000 setahun gagal menjelaskan cukai perkhidmatan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Ketua Pengarah jabatan tersebut, Datuk Abdul Halil Abd. Mutalib berkata, ekoran daripada itu pihaknya akan mengesan peniaga-peniaga terbabit melalui satu gerakan agresif yang dikenali sebagai `Ops Hasil Kastam 2001'.

Serentak dengan itu beliau turut mengingatkan para peniaga yang degil agar segera membayar cukai tersebut sebelum sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak kastam.

Katanya, tindakan tegas termasuk menangkap para peniaga yang ingkar dan menyita harta benda mereka akan dilakukan terutama selepas pewartaan Pindaan Akta Kastam 1967 yang dijangka pada Jun ini.

``Pendekatan kastam kali ini ialah kita tidak akan menunggu pelanggan tetapi kita akan mencari mereka dan meminta mereka membayar cukai yang sepatutnya dijelaskan.

``Pada peringkat permulaan kita akan gunakan pendekatan yang lembut tetapi sekiranya para peniaga ini masih berdegil kita terpaksa mengenakan tindakan tegas. Bahkan selepas pindaan Akta Kastam mula berkuat kuasa Jun ini kita ada hak menangkap mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan `Ops Hasil Kastam 2001' Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan, Mat Yusof Abdullah.

Dalam perkembangan yang sama Abdul Halil berkata, operasi kali ini bukan sahaja tertumpu kepada kilang-kilang, restoran-restoran yang besar dan pub-pub tetapi juga meliputi semua jenis perkhidmatan bercukai.

``Ia termasuklah perkhidmatan profesional, ejen penghantaran, perkhidmatan kawalan keselamatan, agensi persendirian dan jurutera seperti yang tersenarai di bawah Jadual Kedua, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 1975,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata, kategori peniaga yang dikesan tidak membayar cukai perkhidmatan ialah peniaga yang berlesen dan tidak berlesen.

Katanya, yang dikatakan peniaga yang berlesen ialah mereka yang telah diberikan lesen oleh pihaknya untuk mengutip cukai perkhidmatan daripada orang ramai sebanyak lima peratus yang kemudiannya cukai tersebut diserahkan kepada kastam.

``Mereka yang tidak berlesen pula ialah peniaga yang langsung tidak diberikan kuasa untuk mengutip cukai perkhidmatan.

``Namun, ada di kalangan peniaga yang berada kategori kedua ini dengan sewenang-wenangnya mengutip cukai perkhidmatan daripada orang ramai seolah-oleh mereka telah diberikan lesen untuk berbuat demikian,'' katanya.

Beliau memberitahu apabila keadaan itu berlaku peniaga yang tidak bertanggungjawab itu akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum