UMUM

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Persatuan akui ada pemandu ambil dadah

KUANTAN 24 Mei - Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMSM) mengakui terdapat segelintir pemandu bas yang mengambil pelbagai jenis dadah seperti ganja, heroin dan pil khayal ketika memandu.

Presidennya, Mohd. Yasin Yacob berkata, gejala dadah di kalangan pemandu bas sememangnya diketahui tetapi sering kali aduan yang dibuat kepada majikan tidak diambil tindakan sewajarnya.

``Malahan PPBMSM sudah memaklumkan secara rasmi sama ada melalui surat atau telefon kepada syarikat-syarikat bas yang mempunyai ahli dalam persatuan ini tentang gejala ini,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat syarikat-syarikat bas yang begitu ghairah mengambil pemandu baru kerana perkembangan syarikat masing-masing menyebabkan mereka mengabaikan untuk memeriksa terlebih dahulu latar belakang pemandu terbabit.

Menurutnya, kebanyakan pemandu bermasalah itu, diambil bekerja di syarikat sederhana yang tidak begitu menghiraukan sangat latar belakang mereka.

``Syarikat bas yang besar dan terkenal biasanya memberi perhatian kepada rekod setiap individu yang mahu diambil bekerja sebagai pemandu bagi menjaga imej dan reputasi mereka,'' katanya.

Beliau berkata, kelalaian sesetengah syarikat bas dalam memastikan pemandu mereka bersih daripada gejala dadah secara langsung boleh mendedahkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

``Justeru, persatuan berharap pihak berkuasa dapat terus mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang terlibat dalam gejala kurang sihat itu bagi mengelak masalah lain berlaku seperti kemalangan dan sebagainya,'' katanya.

Menurutnya, PPBMSM menyokong tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa yang mengadakan operasi bersepadu bagi mengenal pasti pengambilan dadah di kalangan pemandu.

Beliau berkata, peratusan pemandu bas dan lori yang diperiksa dan didapati positif dadah dalam operasi bersepadu baru-baru ini iaitu seramai 1,205 orang adalah tinggi dan membimbangkan.

``Diharap dengan tindakan tegas itu, pelbagai masalah lain seperti kemalangan maut terutama membabitkan kenderaan komersial juga akan dapat dikurangkan,'' katanya.

Menurutnya, bagi pihak persatuan, tindakan tegas seperti pemecatan sebagai ahli persatuan akan diambil kepada mana- mana pemandu yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Oleh: YUSWANDI MAJID

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum