UMUM

Utusan Malaysia 21 april 2001

SSB: JPA kaji memorandum CUEPACS

PUTRAJAYA 20 April - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji dan menghalusi memorandum Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung sistem gaji alternatif menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman berkata, beliau juga telah mengarahkan Jawatankuasa Kajian SSB itu supaya menyegerakan tugas tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh bila keputusan dapat dicapai berhubung cadangan itu.

``Ia sedang dihalusi, saya dah minta kerjasama mereka (jawatankuasa) untuk buat kajian secepat mungkin,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat barisan kepemimpinan CUEPACS yang diketuai Presidennya, N. Siva Subramaniam di sini hari ini.

Satu memorandum meminta kerajaan menilai kembali keberkesanan Jadual Gaji Matriks dalam Sistem Saraan Baru (SSB) turut diserahkan kepadanya.

Mengulas lanjut Samsuddin menyatakan, kajian yang teliti perlu kerana sebarang perubahan yang berlaku dalam sistem itu akan melibatkan implikasi kewangan.

``CUEPACS juga menyedari hal ini dan saya berterima kasih kepada mereka kerana sentiasa menyelesaikan hal ini melalui perbincangan,'' katanya.

Menurutnya lagi, selain itu, kunjungan tersebut juga mengukuhkan lagi pendirian kerajaan dan CUEPACS untuk terus bekerjasama demi kebaikan dan kemantapan perkhidmatan awam.

``Saya juga menyambut baik langkah ini kerana ia akan lebih mengukuhkan hubungan antara pekerja dan majikan,'' katanya.

Menurutnya lagi, sikap tanggungjawab CUEPACS kepada ahli-ahlinya patut dihargai.

Dalam pada itu, Siva menyatakan bahawa Sistem Gaji Sebaris yang dicadangkan oleh CUEPACS berkehendakkan kebolehan dan kecekapan sebagai asas penilaian prestasi.

``Ia perlu supaya kakitangan awam lebih produktif sewaktu menjalankan tugas,'' tambahnya.

Namun begitu, katanya lagi, peningkatan gaji secara automatik pada setiap tahun seperti mana yang diamalkan dalam sistem ini bukan satu kemestian.

``Dengan kata lain, memorandum yang kita serahkan hari ini, turut menggariskan mesti ada budi bicara yang berdasarkan asas-asas penilaian yang kukuh, telus dan bersistematik bagi.

``Hal ini perlu untuk mewujudkan sistem yang lebih telus, adil dan bersistematik,'' ujarnya.

Ujar Siva, tidak semua yang terkandung di dalam SSB tidak berfaedah, cuma ada beberapa perkara utama yang perlu dinilai kembali.

``Antara perkara tersebut ialah Sistem Gaji Matriks, Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT), Kuasa Ketua Jabatan yang mempengerusikan Panel Pergerakan Gaji (PPG),'' katanya lagi.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersetuju untuk mengkaji SSB kerana terdapat banyak protes mengenainya.

Perdana Menteri turut meminta supaya CUEPACS mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya sistem itu dapat dipertingkatkan untuk kemudahan kakitangan awam.

Kata Siva lagi, tugas kesatuan sekerja bukan hanya menuntut kenaikan gaji tetapi memastikan setiap ahli berdaya usaha supaya peningkatan produktiviti berlaku pada setiap masa.

Oleh: HAIRULAZIM MAHMUD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum