UMUM

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Kerosakan Jalan Lingkaran Tengah siap dibaiki dalam tempoh seminggu

IPOH 26 Mei - Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membaiki Lebuh Raya Lingkaran Tengah dekat Pandan Indah di Kuala Lumpur, yang mengalami tanah jerlus semalam, dalam masa seminggu, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya, kerja pembaikan akan dijalankan 24 jam sehari untuk memastikan jalan yang terjejas itu dapat dibuka secepat mungkin.

"Kerja ini perlu diselesaikan segera kerana jalan ini penting dan berlaku kesesakan kerana bilangan kenderaan yang banyak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan JKR di sini hari ini.

Kesesakan yang teruk berlaku di kawasan itu selepas lubang jerlus selebar kira-kira tiga meter dikesan pagi semalam.

Samy berkata, siasatan awal JKR mendapati kejadian itu berlaku kerana pembetung di bawah jalan itu tidak dibina dengan sempurna oleh pemaju swasta di kawasan itu.

"Pembetung di bawah jalan itu tidak dibina dengan baik. Sepatutnya setiap pembetung mesti bersambung dengan relang sebelum diturap konkrit. Tetapi sekarang mereka mengambil jalan mudah dan tidak berbuat demikian," katanya.

"Akibatnya, air bertakung di situ lalu menyebabkan tanah lembik dan akhirnya berlaku tanah jerlus," kata Samy.

Katanya, JKR akan menyalurkan air dari kawasan perumahan di kawasan itu terus ke dalam sungai dan bukannya seperti yang dilakukan sekarang.

Samy berkata, JKR tidak dapat berbuat apa-apa mengenai sistem pengaliran air di kawasan itu sebelum ini kerana ia dilakukan oleh pemaju swasta. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum