UMUM

Utusan Malaysia 21 april 2001

KDN arah tarik balik keluaran terbaru Time

PULAU PINANG 20 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan pengedaran majalah Time keluaran terbaru yang menghina agama Islam ditarik balik daripada pasaran, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Cawangan Kawalan Penerbitan dan Penguatkuasaan KDN Zon Utara, Rodzi Husin berkata, semua cawangan KDN telah menerima arahan tersebut semalam.

``Sekiranya majalah keluaran 16 April 2001 yang memuatkan rencana tulisan David Van Biema bertajuk `Jerusalam At the Time of Jesus' yang di dalamnya diletakkan gambar `Nabi Muhammad sedang menemui malaikat untuk menerima wahyu' masih dijual di pasaran, ia akan dirampas,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan hari ini mengenai desakan Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam UMNO Bahagian Tanjong, Abdul Karim Abdul Majid yang meminta kerajaan mengharamkan majalah tersebut yang menghina agama Islam kerana memuatkan artikel dan karikatur Nabi Muhammad dan Malaikat Jibrail.

Katanya, karikatur itu sengaja dimuatkan dalam artikel tersebut untuk menghina dan menjatuhkan agama Islam dan penganutnya di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Rodzi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat penjualan majalah tersebut agar menghubungi KDN untuk tindakan segera.

Sementara itu, Abdul Karim ketika dihubungi berkata, beliau memuji tindakan segera kerajaan itu yang sekali gus dapat mengelakkan pengaruh tidak sihat yang cuba dibawa oleh media Barat ke negara ini.

``Tindakan pantas kerajaan dan kerjasama orang ramai dapat membanteras kemasukan masalah asing yang cuba menerapkan budaya Barat di kalangan masyarakat negara ini,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum