UMUM

Utusan Malaysia 27 april 2001

Harga beberapa produk Nestle dijangka naik

PETALING JAYA 26 April - Nestle Malaysia Bhd., (Nestle), pengeluar barangan makanan pengguna terkemuka di negara ini dijangka menaikkan harga beberapa produknya.

Pengarah Urusan Nestle, Jose Lopez bagaimanapun enggan menyatakan jenis barangan yang akan mengalami kenaikan harga dan tempoh penguatkuasaan harga baru.

Beliau menyifatkan kenaikan itu bersifat seimbang berbanding dengan beberapa pengeluar makanan lain yang dijangka turut menaikkan barangan mereka.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini berkata, ``kita akan menaikkan beberapa harga barangan pada tahun ini pada harga yang munasabah.

``Tetapi, pada masa yang sama juga kita telah mengurangkan harga beberapa barangan lain.''

Beliau turut menjelaskan syarikat itu telah menaikkan harga beberapa barangan lain tahun lalu.

Nestle mengeluarkan serangkaian luas makanan pengguna termasuk susu tepung, susu pekat manis dan barangan dapur.

Lopez berkata, pihaknya akan menyusun dan mengukuhkan operasi perkilangan produknya di rantau ini untuk mengatasi masalah kenaikan kos bahan mentah.

Katanya, kebanyakan bahan mentah untuk produknya diimport dari negara-negara lain yang memberi kesan terus kepada kos operasi.

``Kenaikan bahan mentah menyebabkan kita membina kilang yang besar bagi membekalkan produk untuk rantau ini, dan beberapa kilang yang tidak cekap kosnya akan ditutup,'' katanya.

Sebagai contoh katanya, kilang pengeluaran susu pekat manis di Petaling Jaya telah ditutup tahun lalu.

Lopez menambah, penutupan itu menandakan bermulanya perubahan dalam peranan syarikat yang akan bertindak sebagai penerima dan juga pengeluar bekalan serantau.

Bagi tahun kewangan 31 Disember 2000, Nestle telah memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama makanan utama di negara ini dengan mencatatkan perolehan RM2.2 bilion.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum