UMUM

Utusan Malaysia 30 april 2001

Henti menghasut setinggan - PM


DR. MAHATHIR Mohamad diiringi Dr. Khir Toyo dan Ong Ka Ting bersalaman dengan pemilik-pemilik baru Rumah Mampu Dimilik di Damansara Damai, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 29 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mencabar parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tertentu supaya berhenti menghasut penduduk setinggan tetapi sebaliknya menyediakan perumahan sempurna kepada mereka.

Perdana Menteri berkata, parti pembangkang dan NGO terbabit boleh membeli tanah, membina rumah di atasnya dan menjual dengan harga yang rendah serta bagi pinjaman 100 peratus kepada rakyat.

``Saya yakin mereka (pembangkang dan NGO) tidak akan menjawab atau buat apa-apa. Mereka hanya cekap bercakap untuk meraih sokongan.

``Merekalah petualang dan perosak negara. Jika tidak kerana parti pembangkang dan NGO terbabit, sudah lama negara dapat dibangunkan,'' kata Dr. Mahathir.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan kunci kepada penduduk perintis Fasa 1 Rumah Mampu Milik, Damansara Damai di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pengerusi Eksekutif MK Land, Tan Sri Mustapha Kamal.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Setinggan di Lembah Klang, berkata, hasutan itu menjadi punca segelintir penduduk terus berdegil walaupun majoriti sudah bersetuju untuk berpindah.

Beliau juga menyeru penduduk setinggan di Lembah Klang supaya bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha menempatkan mereka di kawasan perumahan yang lebih sempurna.

Menurut Perdana Menteri, ada penduduk setinggan yang meletakkan pelbagai syarat untuk berpindah yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan.

``Mereka menuntut pampasan tinggi untuk tapak rumah yang mereka duduki walaupun ia tanah kerajaan tetapi bila ditawarkan rumah kos rendah, mereka mahu yang semurah-murahnya,'' kata beliau.

Isu Kampung Baru, ujar beliau, seolah-olah sampai bila pun tidak akan selesai kerana penduduk di situ menuntut pampasan mengikut harga pasaran hartanah yang tinggi.

Sedangkan kerajaan, katanya, mempunyai perancangan untuk memperbaharui kampung itu kerana tidak mahu kedudukan orang Melayu kelihatan begitu daif di tengah-tengah kepesatan pembangunan di ibu negara.

``Penduduk setinggan kena terima hakikat bahawa mereka tidak boleh duduk selama-lamanya di kawasan tersebut,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, jika setinggan mempunyai masalah membabitkan soal pampasan atau penempatan baru, mereka hendaklah menyampaikan masalah itu kepada kerajaan melalui wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan ia akan diberi perhatian.

``Jika sampaikan menerusi parti lawan, kita ambil masa sikit untuk membacanya,'' ujar beliau.

Taman perumahan Damansara Damai dimajukan oleh Medan Prestasi Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat MK Land Holdings Berhad dan ia akan menyediakan 14,204 unit kediaman dan komersial yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2005.

Skim perumahan di bawah projek penswastaan dengan Kerajaan Selangor itu merangkumi 75 peratus pembangunan kediaman jenis rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana yang ditawarkan dengan harga antara RM25,000 hingga RM80,000.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum