UMUM

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Dr Mahathir mahu rakyat sentiasa bersedia pertahankan negara

MELAKA 5 Mei - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu selesa dengan apa yang telah dicapai melalui kemerdekaan negara kerana perasaan sedemikian boleh menyebabkan mereka kurang bersedia untuk mempertahankan tanah air daripada ancaman luar.

Perdana Menteri berkata walaupun negara telah merdeka selama 43 tahun, ia bukannya satu masa yang panjang sehingga membolehkan rakyat tidak lagi memberi perhatian terhadap perjuangan membangunkan negara.

"Malangnya kita nampak seolah-olah segala perjuangan dah selesai, boleh lepas tangan, tidak lagi fikir pasal pembangunan dan pertahanan," katanya.

"Kita khuatir jika kita fikir sekali merdeka, selama-lamanya merdeka kita tak akan pertahankan negara kita," kata Perdana Menteri semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Warga Gerak Khas 2001 di Kem Sungai Udang di sini.

Katanya, Malaysia perlu bersedia untuk mengelak diri daripada penjajahan bentuk baru di bidang ekonomi oleh pihak asing yang lahir melalui konsep globalisasi dan dunia tanpa sempadan.

Dr Mahathir berkata berbeza dengan budaya orang timur, budaya barat dan Eropah memang suka menjajah dan mempunyai keinginan menakluki apa yang dimiliki oleh orang lain.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota komando dan bekas komando tentera itu mendengar Perdana Menteri menyentuh dengan panjang lebar mengenai bahaya globalisasi, persiapan dan perpaduan rakyat untuk menghadapinya serta beberapa aspek tentang pertahanan negara.

Dr Mahathir mengingatkan pasukan keselamatan dan pertahanan negara supaya sentiasa bersedia untuk menerima sebarang perubahan dan pendekatan baru yang berlaku sekarang.

"Kalau kita tak sanggup terima sesuatu yang baru, kita akan tewas...oleh itu, penting (kita) terima pendekatan baru dan sedar dunia sentiasa berubah," katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana tentera Portugis yang kecil mampu mengalahkan empayar Melaka pada tahun 1511 semata-mata kerana pasukan tentera Melaka yang besar tidak mempunyai disiplin dan tiada pendekatan yang berkesan menentang musuh.

"Portugis yang kecil mempunyai pasukan yang tersusun dan apabila satu arahan dikeluarkan mereka bergerak sebagai satu pasukan sedangkan hulubalang Melaka yang tidak berdisplin dan dilatih untuk mempertahankan diri, tidak bergerak sebagai satu pasukan," katanya.

Katanya pasukan keselamatan negara kini dilengkapkan dengan pelbagai peralatan selain diberikan latihan dalam apa juga kebolehan untuk mempertahankan negara.

Dr Mahathir berkata semua kakitangan kerajaan perlu mempunyai disiplin yang tinggi untuk membentuk satu pasukan mantap dalam memajukan negara kerana tanpa disiplin, segala perancangan yang dibuat akan menemui kegagalan.

Selain itu, katanya, semangat dan keberanian yang ada perlulah bertempat bukannya kerana semata-mata berani tanpa memikirkan apa yang akan berlaku pada diri dan negara.

"Orang yang berani ialah mereka yang mencari jalan untuk menewaskan musuh dan mengelakkan diri daripada menjadi sasaran bukannya berhadapan dengan musuh tanpa sebarang persiapan yang boleh membahayakan diri sendiri," katanya.

Dr Mahathir juga meminta rakyat supaya sentiasa berhati-hati di dalam sebarang tindakan dan tidak membuat perkara-perkara yang boleh melemahkan negara sehingga menyebabkan orang asing mengambil peluang daripada kelemahan itu.

"Tugas kita adalah mempertahan dan menebus maruah negara...bukan sahaja berdaya tahan sehingga tahun 2020 sebaliknya terus bebas dan merdeka selama-lamanya," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Mahathir berkata kerajaan sedang mencari jalan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat bukan bumiputera menyertai pasukan keselamatan negara terutamanya pasukan tentera.

"Kita cara jalan supaya mereka (bukan bumiputera) sertai angkatan bersenjata kita tetapi penyertaan mesti dalam semua peringkat...tak bolehlah cuma sertai dalam peringkat officer saja, tidak ada rank, ada rank pun mereka perlu sertai," katanya.

"(Kalau) mereka anggap Malaysia sebagai negara mereka juga, mereka berhak sertai tentera pertahankan negara, korbankan nyawa kerana ini negara dia, bukan bumiputera harus mempunyai pendirian yang sama kalau kita nak nikmati kehidupan yang baik di negara kita ini, kita mesti sanggup pertahankan," kata Perdana Menteri.

Ditanya kenapa tidak ramai bukan bumiputera menyertai pasukan keselamatan, beliau berkata: "(mereka) kata pasal gaji kecil, kita tak boleh beri gaji berbeza antara kaum, jadi kalau kita tengok ada negara yang rakyatnya dipaksa masuk national service (perkhidmatan negara) dua tahun...kita boleh ada national service bagi mereka yang tidak menyertai".

"Kita dah cukup di kalangan bumiputera, kalau nak ada (perkhidmatan negara) mungkin di kalangan bukan bumiputera," katanya.

Perdana Menteri berkata oleh itu kerajaan memohon kepada golongan bukan bumiputera supaya mempunyai semangat patriotisme dan kebangsaan untuk mereka menyertai pasukan keselamatan negara.

Mengenai cadangan pemberian elaun kepada anggota tentera yang mendapat Pingat Gagah Berani (PGB), beliau berkata perkara itu sedang ditimbangkan oleh kerajaan.

"Kita sedang timbang (mengenai elaun itu), kita nak berlaku adil kepada semua pihak...kalau ada cukup asas kita tak teragak-agak memberi elaun yang berpatutan," katanya.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Mohd Ali Rustam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Najib Razak, timbalannya Datuk Mohd Shafie Apdal dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum