AGAMA

Mingguan Malaysia 10 Jun 2001

1,001 KEMUSYKILAN

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)
Nilai anak-anak kepada ibu bapa
SOALAN: Di dalam al-Quran, ayat 55 surah al-Taubah, Allah menyatakan ibu bapa akan terseksa dalam kehidupan di dunia ini disebabkan harta benda dan anak-anak. Ayat 15 surah al-Taghabun pula menyatakan harta benda dan anak-anak memfitnahkan.

Soalan saya, apakah orang yang mempunyai anak-anak akan diancam keseksaan di dunia dan terfitnah kerana mereka. Bukankah anak-anak itu suatu nikmat anugerah Allah yang patut disyukuri. Sejauh mana kebenaran hadis yang menyatakan, jika seorang ibu melahirkan 12 orang anak, maka wajib dizakatkan, laluan ibu bapa mereka ke syurga akan dimudahkan. Jika benar anak-anak memfitnahkan ibu bapa, bagaimana pula jalan menyelamatkannya.

- SITI ZUBAIDAH, Putrajaya.

JAWAPAN: Kenyataan al-Quran bahawa anak-anak dan harta benda mendatangkan fitnah memang benar dan tidak mungkin disangkal tetapi pada masa yang sama harta dan anak-anak juga nikmat kepada ibu bapa, bahkan semua nikmat anugerah Allah termasuk sihat tubuh badan, kuasa, pengaruh dan sebagainya adalah fitnah. Ayat 15 surah al-Taghabun yang dirujuk itu menyatakan: Sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu adalah fitnah, di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Ayat ini membayangkan tugas ibu bapa sangatlah besar. Mereka bertanggungjawab bukan hanya membesarkan anak-anak dengan memberi makan dan minum, tetapi memelihara dan membina akal fikiran mereka supaya menjadi manusia yang bertanggungjawab sebagai pewaris bumi dan dunia yang bakal ditinggalkan ibu bapa mereka.

Ada dua perkataan dalam bahasa Arab yang membawa erti anak-anak, iaitu aulad dan abna'. Bahasa Melayu tidak membezakan antara anak-anak yang masih wajib ditanggung nafkah dan anak-anak yang tidak lagi wajib diberi nafkah. Perkataan aulad biasanya digunakan kepada anak-anak yang masih dalam tanggungan nafkah, sedangkan abna' pula lebih umum, sama ada yang masih ditanggung nafkah atau yang tidak ditanggung lagi kerana mereka sudah dewasa.

Ketika al-Quran membicarakan anak-anak dalam konteks fitnah, selalunya disebut aulad kerana anak-anak yang masih dalam jagaan ibu bapa ini sering membawa banyak perubahan dan tekanan ke atas keluarga. Ibu bapa dan keluarga selalu teruji dengan anak-anak yang terletak di bawah jagaan mereka.

Perkataan fitnah pula dalam bahasa Arab bermakna uji, ia diambil daripada perkataan fatana yang menunjukkan perbuatan seorang tukang emas yang membakar emasnya bagi maksud menguji, sama ada emas itu tulen atau palsu.

Perbezaan antara emas tulen dengan palsu menjadi lebih nyata apabila diuji dengan bakaran api, emas semakin dibakar semakin nyata ketulenannya. Sebaliknya emas palsu pula lebih nyata kepalsuannya.

Harta benda dan anak-anak sering kali melalaikan seseorang daripada Allah, kerana tanggungjawab terhadap semuanya itu tidak ditunaikan dengan sempurna. Sebagai contoh, harta benda yang cukup nisab dan tempoh miliknya yang tidak disucikan dengan zakat, adalah ujian terhadap nafsunya yang cintakan harta dan kekayaan. Anak-anak di bawah jagaan yang tidak patuh kepada ajaran agama, adalah juga ujian terhadap kekuatan ibu bapa, sejauh mana mereka dapat memaksa anak-anak mereka supaya patuh kepada hukum-hukum Allah.

Manusia tidak dilarang mengumpul harta benda sebanyak-banyaknya dengan syarat dikeluarkan zakat, mereka juga dibenar bahkan digalak membiakkan seberapa ramai anak dan zuriat. Atas dasar ini nabi Ibrahim, Zakariyya dan lain-lain memohon kepada Allah agar zuriat mereka diramaikan, lalu Allah memperkenankan doa mereka, sama ada dengan penganugerahan anak lelaki atau perempuan.

Ayat 55 surah al-Taubah, menurut ahli tafsir, bertujuan menyelar sebahagian kaum munafikin yang kelihatan anak-anaknya ramai, harta bendanya banyak, lalu difahami sesetengah orang mukmin bahawa mereka dikasihi Allah. Sebenarnya tidak dikasihi, sebaliknya sedang menjalani ujian, jika mereka gagal dalam ujian itu, bermakna harta dan anak-anak mereka sendiri akan menghumban mereka ke neraka.

Bilangan anak bukan penentu kejayaan sebenar di akhirat, bahkan juga di dunia. Tidak benar jika dikatakan sesiapa yang mempunyai 12 anak, maka laluannya mudah ke syurga, tidak benar juga jika orang mengatakan sesiapa mempunyai 12 orang anak, maka hendaklah seorang daripada mereka dijadikan zakat. Hukum seumpama ini perlu diputuskan melalui sumber-sumber al-Quran dan hadis-hadis sahih. Sepanjang pengetahuan saya tiada hadis menyatakan begitu.

Memang anak-anak dan harta benda adalah ujian, ibu bapa dan pemilik harta teruji dengan anak-anak dan kekayaan yang mereka miliki. Soalnya, apakah nilai-nilai positif dalam ujian ini. Cukupkah sebagai alasan kejayaan ibu dan bapa, apabila anak-anak berjaya ke menara gading atau semuanya diberi kepercayaan mentadbir jabatan-jabatan kerajaan dan memimpin negara. Pada saya, kejayaan itu bukan ukuran sebenarnya, tetapi akhlak dan budi pekerti mereka yang menentukan.

Saya mempunyai sedikit pengalaman dalam menikmati anugerah Allah ini. Saya juga diuji seperti orang lain, mungkin saya dapat kongsi bersama dengan orang yang diberi nikmat anugerah yang serupa. Saya pernah katakan kepada anak-anak yang dianggap nikmat anugerah Allah itu bahawa kejayaan mereka tidak dinilai sepenuhnya pada pencapaian keputusan yang baik dalam peperiksaan yang mereka duduki, tetapi akhlak dan budi pekerti mereka yang sebenar mengekalkan nama baik dan rekod pencapaian sebenar. Saya katakan juga, kepujian dalam peperiksaan tanpa akhlak yang mulia tidak memberi sebarang faedah dalam kehidupan sama ada di dunia atau akhirat.

Bercakap tentang fitnah dan anak-anak, saya kira abad yang kita lalui hari ini adalah abad yang malang dan cukup memfitnahkan para ibu bapa. Abad ini menyaksikan ramai kanak-kanak mati kebuluran, ramai pula yang menderita akibat penderaan seks, bahkan tidak kurang juga yang dibunuh, diseksa dan dicampak ke dalam longkang dan bakul-bakul sampah, walaupun abad ini juga menjanjikan kemewahan ekonomi dan kesejahteraan terhadap semua kaum dan keturunan.

Nasib kanak-kanak dalam abad ini tidak mendapat pembelaan yang sepenuhnya. Ketika orang kaya bermewah dengan kekayaannya, ada kanak-kanak yang tidak berdosa terpaksa membayar dengan maruah dirinya untuk mendapat sesuap makanan pagi dan petang. Ketika ramai orang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya akibat terlebih makan, pada setiap hari pula beratus-ratus kanak-kanak di Afghanistan dan Iraq mati kelaparan.

Jika puan bertanya apakah langkah-langkah yang diambil Islam bagi mengelak kejadian-kejadian yang tidak diingini kepada kanak-kanak, biarlah saya kemukakan di sini beberapa langkah jangka panjang bagi menjamin hak anak-anak untuk mendapat perlindungan sepenuhnya. Antara hak kanak-kanak yang dilindungi Islam ialah:

1. Ibu bapa hendaklah melindungi nyawa dan keselamatan mereka. Ini meliputi hak mendapatkan nafkah hidup, penjagaan, mendapat kasih sayang, bermain, pendidikan dan hak mendapat penjagaan yang sempurna. Ibu bapa tidak berhak menghapuskan anaknya biar apa pun alasannya. Hukum Islam mengambil hak itu sebagai tanggungjawabnya, ibu bapa tidak boleh membunuh atau menghapuskan anak-anaknya, sekalipun ketika ia masih janin.

Suatu peristiwa yang banyak memberi pengajaran berlaku apabila seorang perempuan yang sedang sarat mengandung kerana berzina datang kepada Nabi s.a.w lalu meminta agar dirinya dihukum sebat, bagi menyucikannya daripada dosa. Baginda enggan melaksanakan hukum itu dengan segera, sebaliknya bersabda: Baliklah dahulu sehingga engkau selesai melahirkan anakmu. Jika kami hukum kamu kerana zina, tetapi kami tidak boleh menghukum anak kamu yang tidak berdosa.

Setelah wanita itu selesai bersalin, dia datang lagi dengan membawa anaknya. Baginda sekali lagi menyuruhnya pulang, kerana anaknya memerlukan susu ibu-nya, baliklah dan berikan susu kepada anakmu. Hak anak untuk hidup dilindungi oleh Islam, sekalipun anak itu tidak diketahui siapa bapanya.

Ibu ini masih bermaruah, sekalipun pernah berzina sehingga melahirkan anak. Maruah yang tinggi mendorongnya supaya mencari jalan untuk membersihkan dirinya daripada dosa yang keji itu. Ketinggian maruah ibu berkenaan diatasi oleh ketinggian rahmat Islam, lalu menyelamatkan nyawa anaknya, sekalipun nyawa ibu tidak dapat diselamatkannya lagi, kerana dia berkali-kali mengaku berzina.

2. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab menyusukan anaknya. Al-Quran mengiktiraf hak mendapat susuan ibu bagi anak-anak atau bayi. Hak ini dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: Ibu bapa hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu. - (al-Baqarah: 233).

Ayat ini menarik perhatian ahli-ahli tafsir kerana ia membicarakan hak menyusukan anak di celah-celah ayat yang memperkatakan hukum cerai. Ini membayangkan bahawa nasib anak-anak sering diabaikan apabila ibu bapa mereka suka bergaduh dan memilih jalan perceraian. Ibu bapa boleh bergaduh dan bercerai jika itu pilihan mereka tetapi hak anak-anak untuk mendapat susu ibu tidak boleh dinafikan.

3. Ibu bapa hendaklah memberi peluang kepada anak-anak untuk bermain. Anak-anak mempunyai hak bermain, mereka diberi Allah tenaga, akal dan tubuh badan yang membesar, mereka mampu melakukan sesuatu dalam bentuk mainan bagi menghiburkan diri mereka.

Ibu bapa perlu memastikan anak-anak hidup riang, jangan bebankan mereka dengan masalah-masalah yang mendukacitakan. Baginda Rasulullah s.a.w. telah menunjuk secara amali ketika bermain dengan dua orang cucunya. Baginda pernah menyerahkan belakangnya untuk ditunggangi oleh dua cucunya al-Hasan dan al-Husain, lalu ditunggang mereka sebagaimana mereka menunggang kuda. Baginda memuji aksi dua cucunya ketika menunggang kerana pandai mengimbangi belakangnya hingga tidak menjadi berat sebelah.

Baginda pernah mengambil waktu yang lama untuk sujud dalam sembahyangnya bagi memberi peluang kepada dua cucunya bermain di atas belakangnya, sehingga sahabat terfikir ada sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada baginda. Setelah selesai solat, baginda memberitahu mereka, aku sukar bangun dari sujud tadi kerana bimbangkan dua cucuku terjatuh.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum