AGAMA

Mingguan Malaysia 07 April 2002

Manis berbicara bakhil berbelanja

SOALAN: Saya isteri kepada seorang pegawai yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan. Perbezaan umur antara saya dengan suami hampir 20 tahun. Suami saya baik orangnya, sangat menyayangi saya dan bersopan.

Masalah yang saya hadapi ialah suami saya tidak ingin memahami masalah yang saya hadapi. Beliau manis ketika bercakap, tetapi bakhil waktu berbelanja.

Soalan saya ialah bagaimana saya boleh memberitahunya sesuatu yang saya ingini dengan cara yang terbaik dan mengikut adab kesopanan Islam.

Apakah hak-hak saya sebagai isteri kepada seorang suami yang mempunyai perbezaan umur yang agak jauh. Patutkah saya berfikir seperti orang yang usianya 20 tahun lebih tua daripada saya. Terima kasih. - NUR HANI, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana menghubungi ruangan ini dan sudi berbicara masalah puan dan suami dari perspektif Islam. Saya doakan semoga puan sentiasa beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Saya cuba memahami soalan puan walaupun masih ada beberapa perkara yang saya belum ketahui dan patut saya mengetahuinya. Puan tidak menyatakan sama ada suami puan beristeri lebih daripada satu dan sama ada puan telah beroleh cahaya mata atau belum. Puan juga tidak menyatakan latar belakang puan dengan sepenuhnya meliputi pendidikan formal dan tidak formal.

Setelah mengamati soalan puan, saya bersetuju untuk memberi maklum balas dengan menelitinya dari tiga aspek.

Pertama, tentang tujuan sesuatu perkahwinan didirikan. Kedua, tentang nafkah yang menjadi kewajipan suami kepada isteri dan ketiga tentang nasihat dan saranan saya kepada puan yang bermasalah.

Islam menggariskan beberapa tujuan daripada sesuatu perkahwinan yang dilakukan. Setiap pasangan harus menilai sendiri dengan jujur sama ada tujuan-tujuan itu tercapai atau belum.

Antara tujuannya ialah:

Pertama: Mencari kebahagiaan hidup menerusi pasangan yang dinamakan suami dan isteri.

Hidup berpasangan adalah fitrah bagi semua makhluk, bukan sahaja manusia, tetapi haiwan dan pokok-pokok juga hidup berpasangan. Suami isteri hendaklah faham bahawa tanggungjawab mereka ialah menyumbang kebahagiaan antara satu sama lain, atau dengan kata lain berkongsi hidup dan perasaan.

Kedua: Hidup berpasangan menyerlahkan lagi tanda-tanda kebesaran Allah. Ini adalah sebahagian tanggungjawab kita sebagai manusia yang beriman kepada Allah.

Dalam surah al-Rum ayat 21, Allah berfirman yang bermaksud: Dan doa antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya. Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu senang hati dan mesra, dan dijadikannya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Ketiga: Meramaikan keturunan manusia yang bakal bertanggungjawab memakmurkan bumi ini. Allah menyatakan tujuan ini dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan dan dijadikan dari pasangan-pasangan itu anak-anak dan cucu-cicit (al-Nahl: 72).

Saya percaya sebahagian daripada tiga tujuan ini telah tercapai hasil perkongsian hidup puan dengan suami yang puan sifatkannya sebagai manis berbicara, walaupun bakhil berbelanja.

Puan harus juga berfikir dengan tenang bahawa dalam dunia ini tiada orang yang semua cita-citanya tercapai dan tiada pula yang semuanya kecewa.

Perkara seterusnya ialah tentang nafkah. Ulama Fiqh menyatakan, hak suami terhadap isterinya ialah memberi nafkah yang secukupnya dengan cara yang ma'ruf (baik).

Nafkah itu berkisar sekitar tiga perkara, iaitu:

Pertama, kediaman yang sesuai dengan taraf hidup isteri, sekurang-kurang kediaman hendaklah melindungi isteri dan anak-anak daripada hujan dan panas, serta tidak pula terdedah kepada bahaya dan pandangan umum.

Saya lebih cenderung untuk melihat kelas kediaman itu mengikut taraf hidup seorang suami. Jenis-jenis rumah kediaman yang terdiri daripada kos rendah, sederhana dan mewah menentukan jenis mana seseorang isteri berhak menuntutnya.

Kedua, pakaian yang sederhana. Keperluan pakaian juga mengikut kedudukan suami dan isteri dalam masyarakat di mana ia tinggal.

Sekurang-kurangnya pakaian hendaklah menutup aurat serta melindunginya daripada rasa terhina, disebabkan pakaian tidak bermutu atau kerana tidak dapat menukarnya kepada model-model yang terbaru, jika difikirkan perlu.

Ketiga, makan minum yang juga sederhana. Kesederhanaan pada makan minum, hendaklah dilihat pada keperluan seseorang kepada jenis makanan, khasiat dan kandungan kalorinya. Keperluan ini perlu diambil kira bagi menjauhkan pembaziran yang selalunya diabaikan oleh keluarga yang hidup mewah.

Meskipun nafkah wajib dibelanjakan oleh suami, namun nafkah juga tertakluk kepada kemampuannya. Al-Quran menjelaskan kewajipan nafkah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah baginya. Allah tidak memberatkan seseorang, kecuali berbelanja setakat yang termampu. Allah akan memberikan kesenangan setelah berlaku kesusahan (al-Talaq: 7).

Demikianlah hukum dan undang-undang yang diputuskan oleh al-Quran mengenai nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya. Kadar nafkah ini tidak terlalu ketat dan tidak pula terlalu longgar. Peluang untuk berbincang dan berunding antara suami isteri sepatutnya sentiasa terbuka.

Perlu diingatkan juga, kewajipan nafkah tertakluk dengan ketaatan isteri dan tidak mengingkari kewajipannya terhadap suami.

Jika isteri derhaka atau mengingkari tanggungjawab terhadap suaminya, maka hak nafkah boleh digugurkan. Hukum ini sangat baik dan adil kerana suami diberi tanggungjawab memimpin dan mengawal isteri dan keluarganya.

Perkara ketiga, iaitu nasihat saya secara khusus kepada puan yang bermasalah seperti yang dikemukakan dalam soalan di atas.

Di sini dengan terus terang saya katakan suami puan adalah seorang yang baik hati, jujur, berbudi bahasa dan sopan tutur kata. Sifat-sifat ini sudah cukup bagi isteri untuk membahagiakan sesebuah rumah tangga dan keluarga. Biasanya seorang isteri tidak mudah mengakui sifat-sifat itu pada suaminya, lebih-lebih lagi setelah berkahwin bertahun-tahun lamanya. Puan telah mengakui hakikat itu pada suami puan.

Justeru, suami merupakan pemimpin bagi isterinya, maka kepimpinan yang berasaskan kejujuran dan keikhlasan, baik hati dan sopan sangat dituntut oleh Islam.

Perintah ini dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu itu dengan cara yang baik. Jika kamu tidak sukakan mereka, jangan pula terburu-buru membuat keputusan, mungkin kamu benci, tetapi pada apa yang kamu benci ada kebaikan yang banyak (al-Nisa: 19).

Adapun tabiatnya yang puan katakan bakhil ketika berbelanja sebenarnya tabiat itu berbeza-beza ukurannya. Malah semua perkara dalam dunia ini tiada suatupun yang statik. Apa yang saya atau puan nilaikan murah, kemungkinan orang lain menilainya bakhil.

Mungkin juga sesuatu yang saya nilaikan bakhil, orang lain menilaikannya murah. Perkara ini biasa berlaku di mana-mana jua.

Secara insaf dan adil saya katakan, perbelanjaan suami yang wajib diberi kepada isterinya adalah mengikut keupayaan sahaja. Suami tidak patut dibebankan dengan sesuatu yang dia tidak mampu.

Dalam ayat 7 surah al-Talaq, Allah mengingatkan para suami supaya memberi nafkah kepada isteri secukupnya. Jika tidak mampu, berilah kepadanya seberapa yang ada, mungkin pada masa-masa akan datang rezeki akan bertambah lagi.

Sepatutnya kesopanan suami dibalas dengan sopan juga. Isteri tidak harus mengeluarkan kata-kata yang melukakan hatinya. Jangan sekali-kali membandingkannya dengan orang lain, sama ada sesama keluarga, kawan-kawan dan sebagainya.

Jangan mendesak suami dengan sesuatu yang di luar kemampuannya, kerana desakan isteri boleh memaksanya mendapatkan keperluan daripada sumber-sumber yang haram.

Isteri yang jujur dan beriman tidak akan merelakan suaminya mendapatkan rezeki daripada sumber yang diragui, sebaliknya menasihati suami tatkala keluar dari rumah supaya mencari rezeki yang halal serta mengutamakan yang halal biarpun sedikit dan menjauhi yang haram biarpun banyak.

Isteri harus mengingatkan suaminya bahawa ``kami sedia bersabar dengan kebuluran, tetapi tidak bersedia dengan neraka.''

Puan harus bersyukur kerana beroleh suami yang baik dan jujur, suami yang meletakkan asas kepimpinannya di atas dasar lemah lembut, kasih sayang dan budi pekerti yang mulia.

Saya menyimpan banyak maklumat melalui surat-surat yang dikirim kepada ruangan ini, tentang isteri-isteri yang mempunyai suami yang tidak jujur. Ada yang mendera dan menzalimi isteri sehingga cacat fizikal dan mentalnya. Puan tidak termasuk dalam golongan ini.

Saya percaya puan tidak banyak mengetahui ke mana suami menyalurkan hartanya. Mungkin dia mempunyai komitmen yang tetap dengan badan-badan kebajikan tertentu sebagai amal jariahnya. Dia tidak suka memberitahunya kepada sesiapa kerana khuatir keikhlasannya terjejas.

Ada juga sesetengah suami yang sengaja memilih cara hidup yang sederhana, sekalipun ia mampu bermewah kerana mengamalkan sabda Nabi s.a.w: Sederhanalah kamu, nikmat ini tidak akan kekal selama-lamanya.

Jika puan merasakan ada hak puan yang masih belum disempurnakan dan puan berminat menuntutnya, carilah jalan yang lebih baik untuk menyampaikan hasrat puan, misalnya hadiahkan kepadanya sebuah buku yang menyatakan hak-hak suami kepada isteri dan hak isteri kepada suami atau catatkan sebuah hadis yang menyatakan kewajipan suami kepada isterinya.

Puan juga boleh memilih waktu yang sesuai untuk membisikkan di telinganya bahawa kelangsungan hidup kita tidak cukup dengan hanya cinta. Wallahualam

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi