AGAMA

Mingguan Malaysia 17 Mei 2001

Kesepaduan ilmu agama dan sains

WACANA ISLAM
Oleh Mohd ShukRi Hanapi
Era globalisasi memantau pelbagai bentuk budaya hidup baru. Ia menjanjikan pelbagai perubahan dalam aspek k-ekonomi, k-masyarakat, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan dan sebagainya. Kejayaan mengharungi era ini berkait rapat dengan keupayaan penguasaan pelbagai bidang ilmu, sama ada ilmu aqliyah atau naqliyah. Maju atau mundurnya sesebuah masyarakat dan bangsa dalam era ini banyak ditentukan oleh sikap mereka terhadap tuntutan mencari ilmu, serta keupayaan mereka menguasainya dan memanfaatkannya dengan sempurna serta berketearampilan.

Dalam Islam semua ilmu bersumberkan daripada Allah s.w.t. Malah matlamat ilmu itu sendiri menjurus kepada keimanan dan mentauhidkan Allah s.w.t, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jika kita lihat di sepanjang sejarah keintelektualisme Islam, tokoh-tokoh ilmunya terdiri daripada orang yang betul-betul menguasai ilmu-ilmu agama dan juga menguasai ilmu-ilmu alam dan kemasyarakatan.

Ilmu naqli menduduki taraf fardu ain (wajib dipelajari oleh semua orang Islam) kerana ia mengandungi ajaran-ajaran mengenai akidah, syariah, akhlak yang tidak dapat dicapai melainkan dengan perantaraan wahyu daripada Allah s.w.t. Kebenaran-kebenaran yang terkandung di dalamnya adalah kebenaran-kebenaran yang bersifat mutlak, paling tinggi, dan di luar keupayaan fikiran dan pancaindera manusia.

Ilmu inilah yang mengisi keperluan rohani manusia dengan tepat dan secukupnya di samping memberikan panduan-panduan yang bernilai abadi dan sejagat untuk kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan ketatanegaraan. Ilmu ini membawa manusia mengenali tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. dan sunah Rasul untuk membolehkan manusia berfungsi sebagai hamba Allah s.w.t. di dunia dengan sebaik-baiknya.

Tetapi untuk kesempurnaan hidup di dunia secara bermasyarakat, ilmu naqli atau ilmu agama sahaja tidak mencukupi meskipun ia merupakan ilmu yang paling tinggi dalam pandangan Islam. Manusia memerlukan pengetahuan yang terperinci tentang alam fizikal, alam kemanusiaan dan alam kemasyarakatan, sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah yang akan membangun dirinya, alam sekitarnya dan masyarakat serta membentuk sejarah, sesuai dengan tuntutan akidah tauhid dan syariah Allah s.w.t.

Oleh demikian, ilmu pengetahuan yang dikategorikan sebagai ilmu aqli perlu dipelajari dan dikembangkan sebagai pelengkap kepada ilmu agama.

Di negara kita usaha-usaha untuk melaksanakan konsep ilmu bersepadu amat jelas.

Bagi mencapai dan menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal semua kurikulum sekolah menengah yang kini dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Di peringkat universiti pula, setiap pelajar diwajibkan mengambil kursus tamadun Islam.

Bagi menyokong proses pelaksanaan ilmu bersepadu ini, terdapat beberapa buah institusi pengajian tinggi swasta (Islam), yang memupuk dan memperluaskan pendidikan bersepadu melalui program akademik yang berlandaskan tauhid. IPTS Islam ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengajian agama, malah juga sebagai pusat pengajian sains, teknologi dan pengurusan yang memberi peluang pendidikan tinggi dalam bidang-bidang tersebut agar dapat membekalkan masyarakat dengan golongan pakar dan profesional dalam pelbagai bidang ilmu. Antara institusi pengajian yang dimaksudkan ini ialah seperti Jamiah Islamiah Sultan Ismail Petra (Jaipetra), Universiti Teknologi Islam (Uniti) dan lain-lain.

Usaha Malaysia untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran dalam bidang agama dan bukan agama lebih jelas lagi, apabila Perdana Menteri, sewaktu menghuraikan konsep pembangunan dan status negara maju dalam Wawasan 2020, telah menekankan pembangunan yang menyeluruh meliputi ekonomi, politik, sosial, rohani, jiwa dan budaya. Malaysia akan dibangunkan menjadi sebuah negara maju bertaraf dunia, tetapi model dan acuannya adalah berbeza. Malaysia akan dibangunkan mengikut acuan Malaysia. Acuan ini sesuai dengan perspektif agama, dan Islam khasnya menekankan pembangunan bersepadu meliputi rohani dan jasmani.

Segala usaha yang dilakukan ini, adalah semata-mata untuk melahirkan produk yang mempunyai pandangan semesta dan nilai yang bersepadu antara agama dan bukan agama. Secara tidak langsung usaha ini juga dapat menghapus dualisme dalam pemikiran yang banyak menimbulkan masalah serta menjejaskan usaha ke arah pembentukan sahsiah diri yang sepadu.

Sesungguhnya konsep kesepaduan ilmu berasaskan Islam/tauhid ini sahaja yang dapat menyelesaikan masalah dualisme dalam sistem pendidikan, supaya tidak wujud lagi pemisahan antara aliran ilmu agama (al-Naql) dan ilmu sains (al-Aql). Dengan adanya konsep kesepaduan ilmu ini, insya-Allah, kita dapat mencapai matlamat untuk menyatupadukan umat seluruhnya.

Mohd ShukRi Hanapi ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum