Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 21 April 2001

Lebih banyak estet padi dirancang - TPM

TELUK INTAN 20 April - Kerajaan bercadang untuk mewujudkan lebih banyak estet padi di bawah satu pengurusan yang cekap dalam usaha memajukan lagi sektor pertanian di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah itu bagi meningkatkan lagi hasil padi selain memberi pendapatan yang lumayan kepada petani.

Katanya, menerusi estet padi yang melibatkan kawasan lebih 1,000 hektar, jentera akan dapat digunakan dengan lebih meluas selain kerajaan memberi input kepada pesawah.

``Estet padi akan memberi faedah yang lebih besar jika pemilik sawah mahu menjadikan kawasan sawah mereka berkelompok kerana selain hasil dapat ditingkatkan, para pesawah juga akan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas berucap pada Program Mesra Rakyat bersama warga Felcra, di Seberang Perak, dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid.

Dalam program tersebut hari ini, Abdullah telah melawat ke kawasan jelapang padi seluas 17,698 hektar di Seberang Perak, iaitu kawasan sawah padi yang pertama di negara ini diusahakan oleh Felcra melalui konsep estet.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, estet padi yang diuruskan di bawah satu bumbung akan membolehkan hasil tahunan padi dipertingkatkan selain jenis-jenis padi bermutu ditanam.

Selain itu, jelas beliau, konsep estet padi akan dapat mewujudkan semangat perpaduan, malahan akan dapat melaksanakan dasar-dasar kerajaan ke arah memodenkan sektor pertanian.

Menurut beliau, sawah padi yang tidak diusahakan juga boleh menyertai projek estet padi dan hasilnya akan diagih-agihkan.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha mewujudkan industri berasaskan padi di kawasan estet padi bagi meningkatkan pendapatan para petani.

Oleh: AMRAN MULUP

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi