EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Langkah berani, munasabah

Oleh: SITI NOR SHAFINAZ SH MAZNAN
KUALA LUMPUR 27 Mac - Ahli ekonomi menyifatkan langkah-langkah memapankan momentum pertumbuhan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagi menghadapi kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) sebagai berani, munasabah dan menyeluruh.

Pensyarah Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Abdul Ghafar Ismail berkata, kelembapan ekonomi AS (tidak ketinggalan Jepun) dijangka menjejaskan permintaan negara berkenaan terhadap barangan Malaysia.

``Ini memungkinkan satu penyelarasan semula kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada tujuh peratus pada tahun ini kepada lima hingga empat peratus.

``Memandangkan sektor luaran yang tidak menentu, maka strategi menjanakan ekonomi harus dilaksanakan melalui sektor dalaman seperti penggunaan, pelaburan dan perbelanjaan kerajaan,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ini berbeza dengan penjanaan ekonomi negara selepas mengalami krisis pada tahun 1997 melalui perkembangan yang memberangsangkan sektor luaran menerusi peningkatan eksport dan penurunan import, katanya.

Beliau mengulas langkah-langkah kerajaan dalam menghadapi kelembapan ekonomi AS itu termasuk meningkatkan perangsang fiskal sebanyak RM3 bilion sebagai tambahan kepada RM28.8 bilion yang diluluskan menerusi Belanjawan 2001, di samping beberapa langkah lain.

Menurut Dr. Abdul Ghafar, peningkatan perbelanjaan kerajaan itu perlu dilaksanakan untuk menyerap sebahagian barangan dan perkhidmatan dalam pasaran.

Namun, katanya, ini menimbulkan persoalan kepada kemampuan pembiayaan perbelanjaan sama ada melalui cukai atau pinjaman.

``Jika strategi pinjaman digunakan, maka apakah pinjaman tersebut akan diperoleh daripada sumber dalaman atau pun luaran.

``Kedua-dua strategi ini masing-masing akan mengecutkan sumber dana kepada sektor swasta untuk membuat pelaburan dan memberikan kesan terhadap imbangan pembayaran,'' katanya.

Mengulas langkah pengecualian cukai RM50 ke atas kad kredit dan peruntukan dana tambahan bagi industri kecil dan sederhana, Dr. Abdul Ghafar akan mendorong untuk menjanakan lagi pertumbuhan penggunaan dan pelaburan.

Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat (Malaysia) Bhd., Dr. Norraesah Mohamad pula menyifatkan langkah-langkah itu sebagai berani khususnya tambahan RM3 bilion perangsang fiskal.

Ditanya sekiranya kerajaan menghadapi masalah untuk memperoleh sejumlah besar itu, beliau yakin, kerajaan tidak akan mengalami kesukaran sekiranya pembiayaan dibuat melalui pinjaman mudah dari pinjaman luar.

``Ini berdasarkan rekod pencapaian lepas negara yang cemerlang di dalam pembayaran pinjaman luar yang sentiasa diselesaikan lebih awal.

``Sungguhpun nampak berisiko, ia masih di paras mapan dan terkawal dengan rizab negara yang masih banyak.

Di samping itu, katanya, nisbah perkhidmatan hutang negara berada pada kadar yang rendah (kebanyakannya pinjaman swasta) dan sekalipun tambahan dibuat, ia tidak akan menjejaskan kerajaan,'' katanya.

Mengenai langkah melupuskan cukai kad kredit sebanyak RM50, beliau mengingatkan para pengguna tidak mengambil kesempatan dengan membuat pembelian yang bukan-bukan.

``Lebih elok orang ramai menggabungkan manfaat langkah pengecualian cukai itu dengan melabur di dalam pemilikan rumah dan kenderaan (sebahagian insentif dari langkah-langkah yang diumumkan) yang kini merupakan satu keperluan,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi