FATWA

Utusan Malaysia 06 Julai 2001

FATWA 1 : WAKTU CELAKA HARI JUMAAT?


SOALAN : Tersebar di kalangan orang awam bahawa pada hari Jumaat ada suatu ketika yang dinamakan saat nahas (celaka). Apa pandangan agama dalam hal ini?

Musykil, Kajang, Selangor.

Banyak hadis-hadis yang menerangkan tentang keistimewaan hari Jumaat dan kelebihannya berbanding hari-hari lain. Banyak peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut, antaranya hari Nabi Adam dicipta, dimasukkan ke syurga, dikeluarkan dari syurga, berlakunya hari Kiamat (seperti yang diriwayatkan oleh Muslim), Allah mengampunkan dosa Nabi Adam, hari kewafatan Nabi Adam (al-Muwatta' Imam Malik) dan beberapa kejadian lain yang tidak disahkan kebenarannya.

Bagi menjawab persoalan di atas, tidak ada dalil atau bukti yang menunjukkan bahawa pada hari tersebut adanya waktu yang dinamakan saat nahas.

Bahkan, apa yang didatangkan oleh hadis-hadis sahih adalah sebaliknya iaitu pada hari Jumaat, ada satu saat di mana Allah akan memperkenankan setiap permohonan dan doa yang dibuat pada masa tersebut.

Saat yang dimaksudkan ini bukannya masa 60 minit mengikut kiraan biasa, tetapi ia merupakan satu tempoh masa yang kadarnya hanya diketahui oleh Allah s.w.t.

Bagaimanapun, pelbagai pendapat telah dibuat dalam menentukan tempoh masa tersebut berdasarkan kepada nas-nas yang ada sehingga mencapai kepada 11 pandangan berbeza sebagaimana yang diputuskan oleh Ibn Qayyim.

Namun, nas yang paling kuat dan paling sah ialah apa yang diriwayatkan oleh Muslim, yang mengatakan bahawa `saat perkenan' tersebut ialah waktu di antara khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat.

Mungkin hikmah di sebalik penetapan tempoh itu ialah sebagai peringatan tentang kewajipan mendengar khutbah yang dibacakan oleh khatib, yang mungkin terkandung di dalamnya doa-doa untuk kesejahteraan dan keamanan untuk umat Islam. Pendapat-pendapat lain tentang waktu berkenaan ialah selepas asar sehingga tenggelam matahari (Tarmizi), akhir waktu selepas asar (Abu Dawud dan Nasaei) dan selepas terbit fajar sehingga terbenamnya matahari pada hari tersebut.

Mudah-mudahan hikmah di sebalik tidak adanya penentuan secara tetap berhubung saat dan ketika tersebut ialah supaya kita menjadikan sepanjang hari kita dalam ketaatan kepada Allah dan berdoa kepada-Nya.

SUMBER : Syeikh Atiyya saqr

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum