FATWA

Utusan Malaysia 06 Julai 2001

FATWA 2 : MUHAMMMAD DARI NUR.


SOALAN : Ada pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w dicipta daripada cahaya (nur) berdasarkan kepada firman Allah s.w.t maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah itu cahaya (nur) dan kitab yang nyata.' Apakah penjelasannya?

Ingin tahu, Seremban, N9.

JAWAPAN : Dalam kitab suci al-Quran, kalimah `nur' (cahaya) bukan sahaja digunakan bagi menggantikan kata nama Nabi Muhammad s.a.w, malah ia turut digunakan bagi menggantikan kata nama al-Quran. Ini sebagai mengambil iktibar di atas peranan kedua-duanya sebagai penyuluh kepada manusia ke arah jalan kebenaran dan kebaikan.

Bahkan, kalimah `nur' juga turut digunakan kepada nama Allah s.w.t seperti dalam firmannya pada petikan ayat 35, surah al-Nur, maksudnya: Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.

Hakikatnya, Rasulullah s.a.w bukan dicipta daripada nur (cahaya). Baginda adalah daripada zuriat Nabi Adam a.s, keturunan yang dicipta daripada tanah.

Selain itu, Allah s.w.t juga telah memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya menerangkan kedudukan baginda sebagai manusia dalam firmannya yang bermaksud: Katakanlah, sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu... petikan ayat 110, surah al-Kahfi.

Dalam pada itu, perkhabaran daripada Allah s.w.t yang menggambarkan baginda s.a.w daripada cahaya serta kewujudan hadis-hadis yang menyatakan bahawa nur (cahaya) Nabi s.a.w telah ada sejak baginda belum dilahirkan tidak sekali-kali menafikan hakikat bahawa baginda adalah seorang manusia (yang dicipta daripada tanah).

Tambahan, Rasulullah s.a.w tidak sekali-kali memerlukan kepada cerita-cerita rekaan bagi menambahkan kemuliaan dan keagungannya, bahkan cukup dengan kemuliaan yang diberikan Allah s.w.t kepadanya.

SUMBER : Syeikh Atiyya saqr

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum