Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Hukuman mati Juraimi ditangguh

KUALA LUMPUR 3 Mei - Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang membenarkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pembantu bomoh Mona Fandey, Juraimi Husin, ditangguhkan sehingga proses permohonannya untuk mendapatkan suatu deklarasi dari segi undang-undang di bawah perlembagaan diselesaikan terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi di sini.

Setiausaha Jumaah Pengampunan Negeri Pahang, Haron Abdul Kader, telah memaklumkan perkara itu semalam melalui sepucuk surat kepada peguam Karpal Singh yang bertindak mewakili Juraimi, 31 tahun.

Sehubungan itu Karpal akan memfailkan permohonan Juraimi di Mahkamah Tinggi Sivil di sini, esok.

Karpal memberitahu pemberita hari ini bahawa Jumaah Pengampunan pada sidang khasnya 30 April lalu bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Juraimi.

Sebelum itu pada 4 April lalu, Jumaah Pengampunan telah menolak rayuan pengampunan Mona dan suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman bersama Juraimi yang dihukum mati kerana membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 1993.

Karpal berkata, beliau berterima kasih kepada Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang yang membenarkan penangguhan hukuman mati terhadap Juraimi.

Menurut beliau, deklarasi yang dipohon kepada Mahkamah Tinggi itu juga akan membawa kesan ke atas pasangan Mona dan Affandi.

Namun kata Karpal, beliau tidak dapat mengulas mengenai kedudukan pasangan suami isteri itu kerana mereka diwakili oleh peguam yang lain.

Pada 13 April lalu, Karpal telah menghantar surat kepada Jumaah Pengampunan Negeri Pahang untuk penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan Juraimi memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan lembaga itu yang menolak petisyen rayuan memohon belas kasihan daripada hukuman mati di tali gantung.

Menurut Karpal lagi, ini adalah pertama kali persoalan berhubung petisyen rayuan memohon belas kasihan dicabar di mahkamah negara ini dengan alasan ia mengambil masa yang begitu lama (dua tahun) oleh Jumaah Pengampunan.

Dalam permohonan itu, Juraimi akan menamakan tiga defendan yang terdiri daripada Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang, Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia.

Kes pembunuhan Mazlan mendapat liputan meluas kerana mayatnya dijumpai dikerat 18 bahagian.

Mayat Allahyarham dijumpai ditanam dalam sebuah stor di belakang rumah yang didiami oleh Mona yang nama sebenarnya Maznah Ismail bersama Mohd. Affandi dan Juraimi.

Kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Peruas, Hulu Dong Raub, Pahang.

Pada 9 Februari 1995, Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman mati ke atas ketiga-tiganya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 13 April 1999, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan ketiga-tiga mereka. Sebelum itu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan juga ditolak.

Sementara menunggu hukuman mati, Juraimi, Mona dan Mohd. Affandi ditahan di Penjara Kajang.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum