Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Rakyat kita miliki dua pasport diberkas di Paris

KUALA LUMPUR 13 Mei - Imigresen Paris memberkas seorang rakyat Malaysia setelah menemui bersama-samanya dua pasport antarabangsa serta 15 keping kad kredit yang dipercayai untuk membeli barangan berjenama, termasuk jam Rolex.

Lelaki yang berusia 26 tahun itu ditangkap ketika melalui pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle, akhir bulan lalu.

Dua pasport antarabangsa yang dimilikinya ialah pasport Malaysia dan satu lagi pasport Thailand.

Lelaki itu memiliki kad kredit yang semuanya menggunakan nama mengikut pasport Thailand tersebut.

Dia menggunakan pasport Malaysia semasa cuba melepasi pemeriksaan Imigresen Paris, tetapi dalam pemeriksaan itu pegawai itu terkejut apabila mendapati rakyat Malaysia itu turut memiliki pasport negara Thailand dan 15 keping kad kredit.

Berikutan tangkapan itu, satu sumber memberitahu, lelaki yang mengaku sebagai penganggur itu telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia yang kemudiannya diserahkan kepada polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber itu berkata, polis yang mendapat perintah tahanan reman sehingga 22 Mei sedang menyiasat pemilik pasport antarabangsa Thailand dan 15 keping kad kredit itu.

Bagaimanapun, hasil siasatan awal, kata sumber itu, lelaki itu dipercayai pernah menggunakan kebanyakan 15 kad kredit tersebut untuk membeli barang-barang mahal di Lembah Klang sejak tujuh bulan lalu.

Tambah sumber tersebut, lelaki itu mungkin akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut mengenai penglibatannya dalam memiliki pasport antarabangsa negara lain dan kad-kad kredit.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum