Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Jangan sembunyi angka jualan album

KUALA LUMPUR 21 Mei - Gejala cetak rompak yang kini menjadi barah dalam industri hiburan sepatutnya tidak dijadikan alasan oleh syarikat-syarikat rakaman untuk menyembunyikan angka sebenar jualan album para artis mereka.

Setiausaha Kehormat Badan Bertindak Cetak Rompak (BBCR) Pemuda UMNO, Zaeinal Abidin Omar berkata, pihaknya menerima rungutan artis yang seolah-olah mempertikaikan jualan sebenar album mereka yang diberitahu oleh syarikat rakaman masing-masing bahawa jualannya jatuh.

Katanya, syarikat-syarikat rakaman perlu menunjukkan akaun sebenar yang menunjukkan angka jualan album artis di bawah naungan mereka sebagai bukti mereka mengalami kerugian akibat jualan album merosot.

``Tindakan syarikat rakaman selama ini merugikan artis yang menerima pendapatan daripada royalti jualan album.

``Tidak mustahil bagi syarikat rakaman menunjukkan akaun tidak benar atau `akaun rompak' bagi mengabui mata artis mereka, kononnya jualan album tidak menggalakkan, maka royalti yang dibayar juga rendah,'' katanya di sini baru-baru ini.

Sebagai contoh, banyak artis tempatan yang terpaksa berundur dari dunia seni suara sedangkan syarikat yang menaungi mereka terus gah dan masih bertahan.

Ini, kata beliau, menunjukkan bahawa syarikat terbabit mencatatkan keuntungan walaupun masalah cetak rompak sering dijadikan alasan sebagai punca kemerosotan pendapatan.

``Oleh itu, jangan jadikan alasan cetak rompak sebagai helah bayaran royalti rendah atau terpaksa menggugurkan artis berkenaan sebelum kontraknya tamat,'' katanya.

Pada masa yang sama, BBCR mahu Persatuan Industri Rakaman (RIM) memainkan peranan berkesan dalam usaha membanteras gejala cetak rompak dan tidak terlalu berharap kepada tindakan penguatkuasaan kerajaan semata-mata.

Kata beliau, pihaknya kecewa dengan langkah RIM yang memilih untuk bertindak bersendirian dalam usaha membanteras cetak rompak sedangkan RIM sebelum ini merupakan sebahagian daripada anggota pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Selain BBCR dan RIM, antara agensi lain yang turut menganggotai pasukan yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Filem Malaysia dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) dan beberapa agensi lain yang berkaitan.

``Kita telah merangka agenda bertindak bersama dalam pasukan petugas khas tetapi apabila RIM diajak bekerja bersama, mereka memberitahu telah menubuhkan Intellectual Property Protection (IPT) Sdn. Bhd. sebagai platform bertindak,'' katanya.

Sehubungan itu, kata Zainal, RIM perlu menunjukkan kesungguhan tindakan mereka dalam IPT yang dikatakan mempunyai tabung berjumlah RM2 juta setahun khusus untuk membanteras cetak rompak.

``Kerajaan telah melakukan usaha 99.9 peratus membanteras cetak rompak, oleh itu RIM juga perlu bertindak membantu kerajaan,'

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum