SUBANG JAYA 22 Mei - Pemegang-pemegang polisi insurans Skim Anuiti yang tidak berpuas hati dengan penangguhan pelaksanaan skim itu merayu kerajaan supaya meneruskannya tanpa sedikitpun tunduk kepada tekanan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Rayuan tersebut disuarakan oleh kira-kira 1,000 pencarum dan pemegang polisi pada perhimpunan anjuran Pasukan Petugas Khas Selamatkan Skim Anuiti di sini, petang ini.
Pasukan itu berpendapat, skim berkenaan perlu diteruskan demi kepentingan lima juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia memberi manfaat besar khususnya dalam menjamin pendapatan tetap selepas bersara.
Pengerusinya, Gunaras George berkata, bantahan dan `campur tangan' MTUC tidak seharusnya menjadi penentu pelaksanaan skim itu kerana pergerakan kesatuan berkenaan hanya mewakili 10 peratus daripada keseluruhan lima juta pencarum aktif KWSP.
Menurut beliau, sekiranya MTUC berpendapat skim tersebut tidak menarik, mereka sepatutnya menasihatkan ahlinya supaya tidak menyertai skim tersebut dan bukannya membuat tindakan yang boleh menjejaskan pencarum-pencarum lain.
``Kami sedih kerana MTUC yang hanya mewakili kepentingan 500,000 pekerja membuat keputusan yang memberi kesan kepada keseluruhan lima juta pencarum KWSP,'' katanya.
Menurutnya lagi, MTUC sepatutnya membantah pelaksanaan skim itu ketika peringkat kajian pelaksanaan diadakan.
``Kita hairan mengapa apabila setelah dilaksanakan, baru timbul bantahan. Adakah mereka mempunyai agenda tersembunyi?'' soalnya.
Penangguhan itu diumumkan ekoran bantahan MTUC yang mendakwa pencarum akan mengalami kerugian jika ia diuruskan oleh syarikat insurans.
Menurut Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak sebelum ini, pihaknya tidak membantah matlamat Skim Anuiti sebaliknya mahu ia diuruskan oleh KWSP sendiri dan bukannya syarikat insurans.
Malah, MTUC pada satu peringkat mahu mengadakan piket kerana bantahan terhadap enam perkara berkaitan isu KWSP termasuk pelaksanaan Skim Anuiti.
Sehingga awal bulan ini, pelaksanaan Skim Anuiti telah berjaya menarik kira-kira 200,000 pencarum membabitkan nilai premium RM4 bilion.
Skim Anuiti kini diuruskan oleh Assurance Alliance Berhad, John Hancock Life Insurance Malaysia Berhad, Mayban Life Assurance Berhad, Malaysia National Insurance Berhad, MCIS Insurance Berhad dan Hong Leong Assurance Berhad.
KWSP memperkenalkan skim itu dengan tujuan menjamin pendapatan bulanan seumur hidup sama seperti bayaran pencen. Ia merupakan satu lagi pilihan kepada ahli untuk beralih daripada bayaran sekali gus yang menjadi pilihan kebanyakan ahli sekarang.
Ia merupakan satu skim pilihan dan ahli yang memilih Skim Anuiti akan menerima pendapatan bulanan seumur hidup selepas mencapai umur 55 tahun sekiranya mereka tidak mahu mengeluarkan simpanan sekali gus.
Skim berkenaan dilaksanakan setelah kajian KWSP mendapati bahawa kebanyakan ahli yang mengeluarkan simpanan sekali gus atau lump sum apabila mencapai umur 55 tahun membelanjakan simpanan tersebut dalam masa yang singkat.
Mengulas lanjut tindakan pasukan itu, Gunaras berkata, sebagai pemilik kepada wang caruman dalam KWSP, mereka mempunyai hak untuk menentukan bagaimana wang itu dibelanjakan.
``Jika mereka (MTUC) tidak suka skim ini, mereka boleh menolak skim ini kerana ia adalah pilihan,'' katanya.
Sehubungan itu, jelas Gunaras, mereka akan menghantar memorandum mengandungi 100,000 tandatangan yang menyokong supaya skim itu diteruskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Mei ini.
``Kami berharap Perdana Menteri menimbang semula keputusan menggantung pelaksanaan Skim Anuiti demi kebaikan semua pencarum,'' katanya.
Beliau menambah, setakat ini menerusi kempen ``Wang Saya Pilihan Saya'', pihaknya telah berjaya mengumpul sebanyak 70,000 tandatangan daripada pemegang polisi di seluruh negara.
Oleh: HAMDEN RAMLI
muka depan |
agama |
ekonomi |
fatwa |
jenayah & kemalangan |
kolumnis |
khas |
pelancongan
pendidikan |
pendatang asing |
politik |
rencana |
sains dan teknologi |
umum