Daripada:HASSAN MOHD. NOR
TOKYO 7 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, globalisasi masih berada pada situasi yang berat sebelah dan bukannya bersifat menang-menang sebaliknya yang menang akan terus menang manakala yang kalah akan terus kalah.
Perdana Menteri berkata, double standard yang sama tetap ada kerana globalisasi tidak akan membenarkan aliran bebas pekerja dari sebelah sini ke negara sebelah sana, begitu juga yang miskin tidak dapat mencari keuntungan di negara yang kaya.
``Double standard tetap sama. Ekor saya menang, kepala anda kalah. Tetapi jika globalisasi begitu berat sebelah , bolehkah kita menjadikannya kurang berat sebelah? '' kata Perdana Menteri pada siri syarahan utama U Thant di Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini hari ini.
Syarahan beliau bertajuk Globalisasi , Masyarakat Globalisasi dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu dihadiri oleh para diplomat, ahli akademik, pelajar, ahli perniagaan dan ahli politik di Jepun.
Perdana Menteri berkata, dunia boleh mewujudkan globalisasi tanpa pasaran yang bebas sepenuhnya, pembatalan kawal selia dan membebaskan kerajaan daripada tanggungjawab menjadi penyelia dan pengawal atur.
Katanya, sempadan mungkin boleh diruntuhkan untuk menjadi dunia global tetapi negara-negara boleh menjadi selektif dari segi bahan dagangan, dari segi masa dan dari segi skala.
``Kita tidak perlu meruntuhkan sempadan bagi semua perkara dan semua orang pada satu masa yang ditetapkan. Begitu juga dengan duti yang tidak perlu dihapuskan bagi semua benda,'' katanya.
Dr. Mahathir mengakui terdapat peruntukan bagi semua perkara ini di dalam perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) tetapi ia tidak cukup baik.
``Desakan yang sering dibuat ialah untuk bersikap terbuka bagi membenarkan modal masuk dan keluar untuk memperoleh keuntungan daripada pergerakan modal berbanding pelaburan produktif jangka panjang, '' katanya.
Menurut Dr. Mahathir lagi, globalisasi sebenarnya telah lama mengecewakan sebelum dirasai oleh majoriti penduduk dan negara-negara di dunia.
``Amat malang sekali kerana ia telah memberikan begitu banyak harapan bagi sebuah dunia yang lebih baik dan saksama, sebuah dunia yang bebas daripada kemiskinan, dunia yang penyayang dan dikongsi bersama antara yang kaya dan miskin,'' katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa objektif globalisasi boleh dicapai melalui cara merendahkan sempadan secara terpilih dan tidak semestinya memusnahkan sempadan.
Perdana Menteri berkata, dunia patut mengakui bahawa kesulitan dan kesusahan merentasi sempadan telah menyekat interaksi ekonomi, aliran bebas kepakaran dan modal yang mendatangkan kekayaan.
``Kita tidak semestinya memusnahkan sempadan tetapi kita boleh mencapai tujuan yang sama dengan merendahkan sempadan mengikut bahagian bagi modal untuk mengalir masuk malahan menyediakan insentif bagi aliran masuk modal,'' katanya.
Dr. Mahathir seterusnya membidas mereka yang menyokong dunia tanpa sempadan kerana mengamalkan diskriminasi dengan mendesak penghapusan sempadan hanya bagi membolehkan modal menggali masuk dan keluar.
Menurut Perdana Menteri, jika benar dunia tanpa sempadan maka rakyat juga harus bebas keluar masuk pelbagai negara tetapi malangnya berjuta-juta penduduk miskin di Afrika, Asia dan Amerika Latin yang sepatutnya boleh berhijrah ke negara kaya tidak dapat berbuat demikian.
``Jika yang kaya boleh membuat keuntungan di negara miskin, kenapa tidak yang miskin dapat mencari wang di negara yang kaya?,'' soal Dr. Mahathir.
Mengenai krisis kewangan, Perdana Menteri berkata, para pedagang mata wang telah memusnahkan ekonomi serantau untuk keuntungan mereka. ``Mereka menafikannya dengan mengatakan kerajaan yang rasuah, ketidaktelusan dan kroni sehingga menyebabkan keruntuhan ekonomi itu sedangkan sebelum 1997, kerajaan yang sama telah berjaya membangunkan negara dengan pantas,'' katanya.
Ketika itu kata beliau, negara-negara ini muncul dengan pelbagai gelaran sehingga digelar sebagai harimau dan naga ekonomi.
Dr. Mahathir berkata, krisis mata wang secara tiba-tiba menghancurkan ekonomi dengan kenyataan bahawa harimau sudah kehilangan taring dan kuku, satu kenyataan yang indah sedangkan di sebaliknya apa yang berlaku ialah ekonomi runtuh dan berjuta pekerja kehilangan pekerjaan.
Akhirnya berlaku rusuhan, kedai dibakar dan pencabulan serta pembunuhan melibatkan mereka yang tidak berdosa.
IMF katanya, kemudiannya memasuki negara berkenaan dan ketika keadaan di mana rakyat sudah hilang pendapatan, kerajaan ditekan supaya menarik balik subsidi makanan dan minyak, menaikkan kadar faedah dan cukai, mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menggambarkan sikap tidak prihatin.
``Rusuhan semakin meningkat dan kerajaan akhirnya dijatuhkan, kerajaan yang sama yang sebelumnya memperkayakan negara,'' katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai pengalaman Malaysia semasa krisis kewangan dan kejatuhan mata wang sehingga memaksa Malaysia memperkenalkan penetapan kadar tukaran mata wang.
Katanya, Malaysia terpaksa memperkenalkan penetapan itu bagi menghadapi manipulasi pedagang mata wang dan mengelakkan negara daripada terjerumus dalam keadaan bankrap.
Menurut Perdana Menteri, banyak ramalan dibuat bahawa ekonomi Malaysia akan runtuh malahan akan menjadi pariah dunia, pelabur-pelabur akan menjauhkan diri dan terpaksa menadah tangan memohon bantuan orang lain.
Tetapi apa yang jelas, keadaan itu tidak berlaku dan Malaysia mampu memulihkan ekonomi negara sepenuhnya di mana pada tahun 2000, ia mencapai pertumbuhan sebanyak 8.5 peratus dan tahun ini kadar itu akan menurun disebabkan keadaan ekonomi di Amerika Syarikat.
``Kami amat berjaya dan telah diperkayakan dengan aliran masuk modal asing lama sebelum FDI menajdi akronim Pelaburan Langsung Asing,'' katanya. - Utusan
muka depan |
agama |
ekonomi |
fatwa |
jenayah & kemalangan |
kolumnis |
khas |
pelancongan
pendidikan |
pendatang asing |
politik |
rencana |
sains dan teknologi |
umum