Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 16 Jun 2001

LIAM nafi taja 3 pegawai KWSP

KUALA LUMPUR 15 Jun - Persatuan Insurans Nyawa Malaysia (LIAM) akan mengambil tindakan mahkamah jika Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) gagal mengemukakan bukti LIAM menaja tiga pegawai tertinggi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Eropah.

Sambil menafikan dakwaan MTUC itu, Presiden LIAM, L. Meyappan menegaskan, pihak kesatuan terbabit perlu memberi penjelasan secepat mungkin bagaimana dakwaan itu boleh ditimbulkan.

``Kita tidak pernah menaja mana-mana pihak ke Eropah untuk mengadakan lawatan sambil belajar,'' tegasnya kepada Utusan ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan MTUC yang mengatakan LIAM dan syarikat insurans menaja tiga pegawai tertinggi KWSP untuk lawatan sambil belajar di beberapa negara Eropah bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan Skim Anuiti di negara berkenaan.

Berikutan dakwaan itu, KWSP sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap MTUC berhubung tuduhan tersebut.

Semalam, Pengerusi KWSP, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati tuduhan Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran tidak benar sama sekali.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Meyappan menjelaskan, tuduhan yang dibuat oleh MTUC itu melampau dan mencemar nama baik persatuan.

Menurut beliau, tiada bukti menunjukkan LIAM bertanggungjawab menaja pegawai KWSP ke Eropah sebagaimana yang didakwa oleh MTUC.

``Kita minta MTUC dedahkan nama pegawai itu bersama-sama bukti tajaan yang dibuat oleh LIAM,'' tegasnya. Rajasekaran, kata beliau, perlu menyiasat terlebih dahulu dakwaan sedemikian sebelum membuat sebarang kenyataan akhbar yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam pada itu, Meyappan berkata, MTUC tidak sepatutnya mengheret LIAM dalam kemelut antara KWSP dan pihak kesatuan terbabit.

``LIAM sebenarnya tiada kena-mengena dengan kemelut MTUC dan KWSP,'' katanya.

Beliau menambah, MTUC perlu meminta maaf kepada LIAM dan KWSP berhubung dakwaan yang tidak berasas itu.

Oleh: YUSRI SAHAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum