PELANCONGAN

Utusan Malaysia 14 April 2001

Pesta Songkran pupuk perpaduan


SEORANG anggota Polis Trafik yang bertugas tidak dapat mengelakkan diri apabila turut disapu bedak pada Pesta Songkran yang diadakan di Kubang Tiga, Padang Besar, semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

PADANG BESAR 13 April - Setiausaha Agung Persatuan Siam Malaysia (PSM), Siw Chun Eam yakin perayaan Songkran (Pesta Air) akan dapat memupuk perpaduan kental di kalangan kaum di negara ini.

Siw Chun berkata, perayaan Songkran kini lebih bercorak pesta kebudayaan masyarakat Thai yang sesuai dirayakan bersama oleh semua kaum di negeri ini dengan meriah.

Songkran ialah tahun baru Thai pada setiap 13 April atau bersamaan bulan kelima kalendar Thai dan dirayakan serentak di empat negeri Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Tambahnya, buat pertama kali sebaik sahaja Songkran dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Perlis, Kampung Kubang Tiga dekat sini terpilih sebagai tuan rumah.

Beliau yang mengetuai perayaan Songkran di wat Kubang Tiga di sini hari ini, berbangga dengan usaha yang dijalankan disertai pelbagai kaum.

Ng Chooi Lan, 36, dari Taman Beseri Jaya yang pertama kali menyertai perayaan ini tertarik dengan penyertaan semua kaum penduduk Perlis.

``Pada perayaan ini kita dapat bergaul mesra sesama kita rakyat majmuk di negeri ini,'' ujarnya.

M. Vanitha, 28, kagum dengan persiapan pesta oleh urus setia perayaan yang diketuai Siw Chun selaku Pengerusi Persatuan Siam Negeri Perlis.

Beliau percaya usaha pemimpin kaum Thai negeri Perlis akan merealisasikan hasrat kerajaan memupuk toleransi kaum.

Mally Den Tan, 21, berkata, pesta Songkran juga menguji apabila tidak ada sesiapa yang akan marah apabila pakaian basah kuyup disimbah air atau muka disapukan bedak.

Noorhanan Hassan, 34, berkata, keharmonian akan dapat diwujudkan sekiranya setiap kaum saling menghormati cara hidup dan budaya kaum lain.

Beliau yakin pendekatan PSM dapat menjadikan Songkran pesta yang disambut pelbagai kaum.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi