Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 02 april 2001

Kekurangan guru bahasa Cina serius

SEREMBAN 1 April - Kementerian Pendidikan masih menghadapi masalah kekurangan lebih 3,000 guru terlatih untuk mengajar bahasa Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim berkata, pihak kementerian membuat unjuran untuk mengambil 930 lagi guru untuk mengikuti pengajian bahasa Cina di maktab-maktab perguruan pada tahun ini selepas mengambil 840 orang guru pelatih pada tahun lalu.

Katanya, tindakan itu dibuat bagi menangani masalah kekurangan guru bahasa Cina yang dianggap semakin serius sekarang.

``Masalahnya, ramai pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat untuk mengikuti pengajian di maktab-maktab perguruan khususnya dalam pengajian bahasa Cina,'' katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, bagi pengambilan tahun ini, seramai 400 pelatih dibuat untuk mengikuti pengajian bahasa Cina di maktab-maktab perguruan dalam sesi pengambilan Januari lalu.

Bakinya, kata Hon, akan dibuat dalam pengambilan Julai ini yang melibatkan lebih 500 orang guru pelatih nanti.

``Kementerian juga mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi masalah kekurangan guru bahasa Cina dengan mengadakan temu duga terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti pengajian di maktab-maktab perguruan.

``Ini bermakna mereka yang berminat datang terus menghadiri temu duga dan pendekatan tersebut sudah dilaksanakan dua tahun lalu,'' ujarnya.

Di samping itu, menurut Hon, Kementerian Pendidikan juga membenarkan guru sandaran tanpa terlatih dalam mengajar bahasa Cina supaya mengikut Kursus Dalam Cuti (KDC) yang bermula pada tahun lalu.

Setakat ini, katanya, seramai 874 guru terbabit dipilih mengikuti pengajian mereka di maktab-maktab perguruan semasa cuti persekolahan selama tiga tahun untuk menjadi guru terlatih.

``Kita juga mengambil 400 guru bahasa Cina yang bersara wajib untuk mengajar semula di sekolah-sekolah dengan harapan semua pendekatan ini akan dapat mengatasi masalah guru bahasa Mandarin pada masa depan,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum