Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 02 april 2001

Syarat kolej swasta dinaikkan taraf universiti

SEREMBAN 1 April - Kolej-kolej pendidikan swasta hanya boleh dinaik taraf kepada sebuah universiti apabila mendapat tawaran daripada pihak Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim berkata, setelah mendapat tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan untuk menaik taraf kolej.

``Mereka tidak boleh mengemukakan permohonan jika pihak kementerian tidak mempelawa untuk berbuat demikian,'' ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya hanya membuat tawaran itu selepas meneliti pelbagai kriteria tertentu seperti kemudahan prasarana dan kursus yang ditawarkan oleh kolej berkenaan.

``Penubuhan universiti swasta hanya dapat dilaksanakan apabila kerajaan mempelawa kolej-kolej berkenaan untuk menukar statusnya menjadi sebuah universiti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan Pusat Akademik Bandar Universiti Teknologi Legenda, di Mantin, dekat sini semalam.

Pusat akademik berharga kira-kira RM80 juta yang dibangunkan oleh Dataran Mantin Sdn. Bhd., itu akan menempatkan seramai 12,000 orang pelajar apabila ia siap pada tahun depan.

Dengan itu, menurut Hon, setakat ini kerajaan belum lagi mempelawa Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR Kolej) untuk menukar statusnya menjadi sebuah universiti.

Sementara itu, berucap di majlis tersebut, katanya, Kementerian Pendidikan meminta penubuhan kolej-kolej pendidikan swasta tidak lagi hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang dan Selangor semata-mata tetapi juga di kawasan-kawasan luar bandar.

Jelas beliau, ini kerana sebahagian daripada 470 buah kolej pendidikan swasta yang beroperasi setakat ini berada di dua kawasan berkenaan.

Hon memberitahu, Kementerian Pendidikan sehingga akhir tahun lalu sudah meluluskan 632 permohonan penubuhan kolej-kolej swasta di seluruh negara.

``Saya berharap kolej-kolej swasta tidak lagi tertumpu di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar supaya memberi peluang kepada penduduk-penduduk setempat mengikuti pendidikan tinggi.

``Usaha menubuhkan lebih banyak kolej swasta adalah untuk menampung keperluan kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,'' ujarnya.

Ini kerana katanya, penubuhan universiti-universiti tempatan oleh pihak kerajaan belum lagi mencukupi untuk menampung lebih ramai pelajar yang layak mengikuti pendidikan di institusi pengajian tinggi.

Hon juga percaya, komitmen syarikat-syarikat swasta menubuhkan pusat pendidikan mereka yang menawarkan pelbagai kursus yang diiktiraf oleh pihak kementerian, ia boleh mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara.

Oleh: ZULKIFLI ABDULLAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum