Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Mingguan Malaysia 18 mac 2001

CUEPACS cadang struktur semula sistem pendidikan

KANGAR 17 Mac - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) akan mengemukakan pandangan kepada Kementerian Pendidikan mengenai penstrukturan semula sistem pendidikan negara yang didakwa tidak berkesan dalam mengukuhkan perpaduan kaum.

Setiausaha Agungnya, N. Siva Subramaniam berkata, pandangan tersebut menumpukan perhatian terhadap kepentingan pembelajaran yang berteraskan perpaduan.

Menurutnya, hubungan antara kaum di kalangan pelajar perlu diberi perhatian bukan sahaja di peringkat sekolah rendah dan menengah malah pusat pengajian tinggi.

``Generasi muda terutamanya golongan pelajar perlu didedahkan dengan budaya dan adat resam pelbagai kaum supaya mereka saling hormat-menghormati,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pendidikan wanita anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan hari ini mengenai Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed yang bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa sistem pendidikan di Malaysia tidak begitu berkesan dalam mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

Menurut Musa, beliau mengakui sebahagian pandangan Lee ada kebenarannya, malah menambah kementerian itu turut mempunyai pandangan yang serupa dengan Menteri Kanan Singapura itu.

Dalam pada itu, Siva yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata, pelaksanaan Sekolah Wawasan merupakan langkah terbaik membentuk semangat perpaduan kaum sejak di bangku sekolah.

Beliau juga memberitahu, CUEPACS akan mengemukakan memorandum mengenai perpaduan negara kepada kerajaan bagi meningkatkan semangat perpaduan kaum dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, memorandum itu akan menggariskan tiga perkara dalam usaha untuk mengeratkan semula perpaduan kaum yang sedia terjalin.

Tiga perkara tersebut ialah menanam semangat persaudaraan, memahami kepentingan kebudayaan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan saling hormat-menghormati dalam masyarakat.

``Satu agenda utama perlu diwujudkan bagi melahirkan masyarakat yang saling hormat menghormati tanpa mengira kaum,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum