Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 21 mac 2001

Musa tolak dakwaan penyelewengan dalam pelaksanaan dasar pendidikan

KUALA LUMPUR 20 Mac - Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad hari ini menolak dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan dasar pendidikan sehingga menyebabkan usaha untuk memupuk perpaduan antara kaum di negara ini gagal dicapai sepenuhnya.

Menurut beliau, soal penyelewengan tidak seharusnya timbul kerana setiap pelaksanaan dasar pendidikan dilakukan secara adil dan saksama berdasarkan kepada peruntukan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.

Beliau menambah, semua sekolah, sama ada sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) dilayan dan dibiayai dengan asas yang sama iaitu berdasarkan bilangan pelajar.

``Selain itu, para guru juga dibiayai oleh kementerian mengikut asas yang sama, kurikulum serta pemberian buku teks yang sama.

``Cuma yang berbeza mungkin dari segi pembiayaan pembangunan sekolah jenis kebangsaan kerana tapak pembinaan biasanya disediakan oleh pengurus dan kementerian tidak boleh campur tangan.

``Bagaimanapun kementerian akan bantu sekiranya jumlah derma yang dikutip tidak mencukupi.

Jadi, saya tidak nampak ada penyelewengan seperti yang diperkatakan,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Setiausaha Agung Gerakan, Hoo Saw Ho bahawa perpaduan di antara kaum di negara ini gagal dicapai sepenuhnya kerana berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan dasar pendidikan serta layanan tidak setara kepada pelajar yang berlainan aliran sekolah.

Menurut laporan akhbar hari ini, Hoo turut menafikan kenyataan Musa sebelum ini bahawa sistem pendidikan pelbagai aliran menjadi batu penghalang kepada perpaduan nasional.

Mengulas lanjut Musa berkata, kementerian memberi penekanan kepada pembinaan SK kerana bilangan pelajar di sekolah berkenaan adalah lebih ramai berbanding SJK.

Selain itu, kata beliau, kementerian mahu SK berkembang maju kerana SK bukan sahaja berkemampuan untuk mendidik pelajar tetapi membantu menanam nilai-nilai perpaduan di kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Bagaimanapun jelas Musa, ini tidak bermakna kementerian akan mengabaikan perhatian terhadap SJK.

Menurut Musa berdasarkan perangkaan kementerian, dianggarkan kira-kira 1.2 juta pelajar kini belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), 610,000 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 90,000 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau menambah, dari segi nisbah pelajar, sebuah sekolah menempatkan kira-kira 500 pelajar, SJKC 475 pelajar dan SJKT kurang daripada 200 pelajar.

``Jika berdasarkan kepada jumlah ini, yang tidak cukup dan perlu diberi perhatian lebih ialah sekolah kebangsaan,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum