Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 21 mac 2001

70% sekolah berasrama untuk pelajar luar bandar

KUALA LUMPUR 20 Mac - Sebanyak 70 peratus tempat di sekolah berasrama penuh diperuntukkan kepada pelajar-pelajar luar bandar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad.

Beliau berkata, pihak kementerian sentiasa memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar untuk belajar di sekolah berasrama penuh selepas keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan.

Musa memberitahu, selain pencapaian akademik yang cemerlang, pelajar berkenaan juga perlu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum dan sukan sebagai kriteria tambahan untuk membolehkan mereka terpilih belajar di sekolah seumpama itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Raja Datuk Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Larut itu, Musa berkata, sebanyak 28 lagi sekolah berasrama penuh akan dibina di seluruh negara tidak lama lagi.

``Ini akan mengatasi masalah kekurangan sekolah seumpama itu terutamanya di kawasan luar bandar,'' katanya.

Mengenai pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau berkata, tidak ada kuota untuk pelajar luar bandar sebaliknya pemilihan dibuat berasaskan pencapaian akademik dan merit.

Bagaimanapun, Musa menjelaskan, golongan berkenaan tetap diberi perhatian dan sehingga kini tidak ada satu kes yang dapat membuktikan pelajar luar bandar yang cemerlang gagal memasuki mana-mana IPTA.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum