Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 19 mac 2001

Laksana sekolah satu aliran - GPMS

KUALA TERENGGANU 18 Mac - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berharap kerajaan tidak akan tunduk kepada bangkangan mana-mana pihak dalam menimbangkan pelaksanaan hanya satu sistem aliran persekolahan.

Walaupun ia adalah suatu pendekatan tidak popular dan mungkin dianggap radikal serta tidak memberi keuntungan politik semasa, tetapi GPMS percaya, generasi masa depan akan berterima kasih dan menghargai usaha ini.

Setiausaha Agung GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, hanya melalui langkah itu, satu rupa bangsa Malaysia yang sebenar dapat dijelmakan dengan jati diri yang tidak lagi sekadar berasaskan kaum.

``Cadangan yang pernah ditimbulkan oleh tokoh pendidik negara 48 tahun lalu tetapi ditolak mungkin kerana terlalu toleransi ketika negara sedang dibina, perlu diberi perhatian yang cukup serius kini.

``Asas yang kita anggap kukuh kini mungkin runtuh, lihatlah betapa rapuhnya perpaduan di kalangan rakyat dengan beberapa contoh muncul kini termasuk insiden di Jalan Klang lama,'' ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini berhubung gesaan diwujudkan hanya satu sistem aliran persekolahan bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

Tokoh pendidik, Tan Sri Ainuddin Wahid dilaporkan sebagai berkata, kewujudan banyak aliran pada masa ini terbukti tidak membantu mewujudkan suasana harmonis antara mereka.

``Sistem pendidikan kita yang pelbagai, mengasingkan setiap kaum sejak di zaman kanak-kanak, hingga jurang perkauman melebar dalam diam-diam,'' ujarnya.

Menurutnya, jati diri sebagai rakyat Malaysia harus ditekankan dan tidak lagi dalam konteks jati diri Melayu sahaja kerana kaum-kaum lain akan turut mempertahankan dan menunjukkan jati diri mereka.

``Melalui satu aliran sejak alam kanak-kanak, tanpa mengetepikan proses penguasaan bahasa ibunda masing-masing, perpaduan yang tulen akan datang dengan sendirinya tanpa perlu dicanangkan dengan slogan,'' ujar beliau.

Katanya, GPMS menganggap gesaan yang dikemukakan itu amat rasional dan para pemimpin parti-parti politik yang mendukungi kepentingan bangsa masing-masing perlu berkorban pada masa kini.

``Jika tidak, generasi masa depan akan menjadi korban atas dasar yang dibentuk selama ini. Inilah masa yang sesuai untuk menilai,'' ujar beliau.

Oleh: WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum