Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 03 april 2001

Meneliti cadangan mewujudkan sekolah satu aliran

PARADIGMA sistem pendidikan negara tercabar lagi ekoran cadangan pelaksanaan sekolah satu aliran.

Cadangan tersebut bukannya kerana anjakan reformasi sistem pendidikan negara, tetapi impak kepada cadangan pelaksanaannya yang disifatkan perlu diwujudkan dengan kerja sama, perhatian dan pengorbanan dari semua warganegara.

Sebelum ini, cadangan pelaksanaan sekolah wawasan terjerumus ke kancah politik. Ia menjadi isu hangat dan mula bergema di pentas-pentas ucapan berbau politik. Mereka segera menidakkan semua objektif dan matlamat yang tersirat di sebalik cadangan tersebut.

Kehangatan isu berkekalan terus dipolemikkan apabila wujudnya tentangan dan bantahan daripada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia atau Dong Jiao Zong. Lebih mengecewakan lagi, lima buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) telah menolak tawaran kerajaan untuk bertukar ke konsep sekolah wawasan yang dicadangkan.

Sebenarnya, banyak pihak yang lebih gemar berprasangka negatif dan pesimis terhadap cadangan sekolah satu aliran tanpa memahami matlamat dan hasrat sebenar kerajaan. Kebanyakan kupasan pendapat dan bantahan yang disuarakan lebih kepada aspek sentimen perkauman dengan menolak mentah-mentah kepentingan dan tujuan murni pelaksanaannya.

Sebarang ulasan yang merangsang kepada isu polarisasi kaum sewajarnya tidak berlaku dalam sesebuah negara yang didiami masyarakat pelbagai kaum. Maka dalam hal inilah sepatutnya usaha-usaha memantapkan perpaduan yang sedia wujud perlu ditingkatkan.

Semua rakyat haruslah berganding bahu. Ini kerana bidang pendidikan sendiri telah dikenal pasti sebagai saluran terbaik untuk menjana proses berkenaan.

Negara kita amat sesuai dan memerlukan konsep sekolah satu aliran memandangkan situasi pembelajarannya yang membolehkan semua murid bergaul dan berinteraksi sesama mereka di luar kelas.

Senario inilah yang diharapkan akan membantu menjalinkan persefahaman dan perpaduan yang lebih jitu bermula daripada peringkat yang lebih awal.

Justeru, untuk mengelakkan ia terus dipolemikkan lagi, dan menjadi agenda politik yang lebih mengancam keharmonian kaum, maka kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlulah mengambil langkah drastik dengan memberi penerangan mengenai konsep sebenar sekolah satu aliran kepada semua pihak agar tidak timbul kekeliruan mengenainya.

Penekanan haruslah ditumpukan kepada usaha-usaha membina persefahaman dan perpaduan di kalangan kaum yang mana kemuncaknya nanti akan lahir satu identiti bangsa Malaysia yang tersendiri.

Kita berharap benar agar setiap bantahan dan penentangan terhadap pelaksanaannya biarlah nasional dan menjurus kepada kepentingan jalinan muhibah yang sedia ada.

Usahlah dikaitkan dengan keutamaan dan kepentingan bahasa ibunda masing-masing kerana ia akan dilindungi sebagaimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1995.

Melihat kepada hasrat murni dan pentingnya, maka wajarlah pihak kerajaan meneliti cadangan kewujudannya.

Dengan penerangan yang terperinci, diharapkan semua rakyat Malaysia akan sanggup berkorban perasaan dalam semangat bangsa Malaysia yang tersendiri kerana dengan cara itulah saja kita akan dapat memartabatkan imej negara di persada antarabangsa, terutamanya apabila berdepan dengan cabaran ekonomi, sosial, politik dan teknologi.

Sudah pasti dengan natijah dan hasil terbaik serta memuaskan ini, akan menggambarkan kemurnian hasrat yang bakal menjadi realiti demi membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu dan harmonis.

Kiriman:
Wan Marzuki Wan Ramli
Pasir Mas, Kelantan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum