Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 07 april 2001

Mapco pertahan kursus kejuruteraan IPTS

Oleh: ZULKIFLI BACHOK
PERSATUAN Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO) menjelaskan, bukan semua program ijazah kejuruteraan dari Britain yang ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tidak mendapat pengiktirafan Lembaga Akreditasi Kejuruteraan (EAC).

Presiden MAPCO, Tengku Shamsul Bahrin berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan isu itu kerana beberapa masalah teknikal yang belum selesai di antara MAPCO dan EAC.

Menurut beliau, EAC baru ditubuhkan pada akhir tahun lepas, ``sudah tentu permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut masih diproses.''

Pengiktirafan terhadap sesuatu program pendidikan dilakukan oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN) sebelum Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) mengambil keputusan menggantikannya dengan EAC baru-baru ini.

``Justeru, masih terlalu awal untuk menghukum IPTS berhubung pengiktirafan program ijazah kejuruteraan yang mereka tawarkan,'' jelasnya.

MAPCO, tambah Tengku Shamsul, kesal dengan kenyataan Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM), Datuk Prof. Dr. Ahmad Zaidee Laidin baru-baru ini yang memberi gambaran negatif terhadap program ijazah kejuruteraan yang ditawarkan oleh IPTS.

``Dr. Ahmad Zaidee memberi gambaran yang tidak jelas berhubung isu ini,'' katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Ahmad Zaidee baru-baru ini membuat persidangan media menasihati pelajar kejuruteraan yang mengikuti program 2+1 dan 3+0 di IPTS supaya mengambil mata pelajaran tambahan bagi membolehkan mereka diiktiraf oleh badan profesional di dalam dan luar negara.

Kata bekas Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, ini kerana program kejuruteraan berkembar tidak lagi diiktiraf oleh lembaga atau majlis jurutera di negara asalnya yang mula beralih kepada tempoh pembelajaran yang lebih lama dan tidak lagi berasaskan pengalaman.

Tengku Shamsul menambah, pada tahun 1997, BEM telah bersetuju untuk mendaftar pemegang ijazah program berkembar, separuh masa dan jarak jauh yang diiktiraf sebagai jurutera berijazah.

``Bagaimanapun, mereka mestilah mempunyai sekurang-kurangnya enam tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan sebelum dipertimbangkan untuk dinilai sebagai jurutera profesional,'' ujar Tengku Shamsul.

BEM juga katanya, memberi jaminan untuk terus mendaftar pemegang ijazah dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam kejuruteraan sebagai jurutera berijazah dalam pertemuannya dengan MAPCO pada 22 Mei 2000.

``Sehubungan itu, adalah tidak wajar Dr. Ahmad Zaidee membuat kenyataan yang tidak adil terhadap IPTS ketika BEM sendiri mengiktiraf program yang kami jalankan,'' tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa BEM merupakan badan yang diberi kuasa oleh kerajaan dalam hal ehwal pendaftaran jurutera di bawah Akta Jurutera 1967 dan bukannya IEM.

Dr. Ahmad Zaidee semasa sidang akhbarnya itu meminta para pelajar menyemak status program ijazah kejuruteraan yang ditawarkan oleh IPTS.

Menurut Tengku Shamsul, kenyataan Dr. Ahmad Zaidee boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap IPTS.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum