Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 april 2001

Semakin ramai ke tingkatan enam

PENGAMBILAN ke tingkatan enam rendah tahun ini sebagaimana yang diumumkan oleh Pegawai Perhubungan Awam bahagian dasar dan Pengurusan Korporat di Kementerian Pendidikan, Abdul Rauf Jamalis telah meningkat 196 peratus mewakili 89,918 tempat berbanding hanya 30,731 tempat pada tahun lalu.

Peningkatan ini boleh dianggap sebagai satu petanda atau gambaran baik kepada status tingkatan enam.

Sesungguhnya, selama ini tingkatan enam sering dijadikan pilihan terakhir oleh pelajar apabila mereka gagal meraih tempat ke IPT.

Prasarana pendidikan di ne-gara kita yang semakin banyak menawarkan kursus-kursus atau program-program untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan salah satu faktor wujudnya sikap sebahagian besar lulusan SPM yang seolah-olah mengetepikan tingkatan enam.

Barangkali hal ini berlaku kerana golongan pelajar ini beranggapan pendidikan pada peringkat tingkatan enam tidak memberi manfaat yang banyak, susah dan mencabar, atau saluran yang lambat untuk memperoleh ijazah.

Tidak kurang pelajar yang mahu mengetepikan tingkatan enam kerana dikatakan tidak glamor.

Berdasarkan peningkatan peratusan pengambilan pelajar ke tingkatan enam yang berlaku pada tahun lalu, nyata pihak kementerian tidak mahu pelajar khususnya lepasan SPM mempunyai persepsi yang salah terhadap kewujudan tingkatan enam.

Pihak kementerian dilihat menggalakkan kemasukan pelajar ke tingkatan enam sebelum melangkah ke menara gading. Sememangnya hal sedemikian yang diharapkan.

Lulusan SPM seharusnya menyedari bahawa pada peringkat inilah mereka akan dapat memperkembangkan potensi diri dengan hanya bantuan minimum daripada pihak guru.

Mereka mula didedahkan kepada pembelajaran bercorak penyelidikan ringkas atau penemuan sendiri dan tidak lagi terlalu terikat atau bergantung kepada teks tertentu sahaja.

Mereka sebenarnya mula disediakan dengan suasana kendiri.

Justeru, apabila memasuki universiti, golongan ini akan lebih berdaya saing dan memanfaatkan sepenuhnya suasana pendidikan di menara gading ini.

Hal ini terbukti berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, bahawa sesungguhnya pensyarah-pensyarah di IPT lebih menyenangi mahasiswa ijazah pertama lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Golongan ini dinyatakan sebagai golongan yang lebih mudah menyerap ilmu dan cepat bertindak berbanding lepasan SPM mahupun lepasan diploma yang tidak melalui pembelajaran tingkatan enam.

Dari segi masa memperolehi ijazah pertama, seharusnya perkara ini bukan alasan untuk mengetepikan tingkatan enam.

Sebenarnya pelajar lepasan SPM yang memasuki IPT tidak semestinya mengikuti pengajian ijazah pertama. Mungkin juga hanya peringkat diploma.

Lazimnya di negara kita, program diploma mengambil masa tiga tahun untuk ditamatkan kemudian barulah diterima mengikuti program ijazah pertama yang biasanya mengambil masa tiga tahun juga.

Berbanding lepasan STPM, mereka sebenarnya akan memperolehi ijazah pertama setahun lebih awal, iaitu hanya dua tahun pada peringkat tingkatan enam dan tiga tahun pada peringkat ijazah pertama.

Glamor atau tidak bukan lagi menjadi perkara penting.

Kematangan pelajar dan kejayaan mereka memperoleh kejayaan lebih diutamakan.

Justeru, lepasan SPM yang masih belum menyedari gambaran sebenar tingkatan enam perlu sekurang-kurangnya berinteraksi dengan guru atau bekas guru mereka agar mendapat gambaran yang tepat mengenai tingkatan enam dan hubung kait dengan arah tuju pendidikan.

Sementara itu, guru pula perlu memainkan peranan untuk mengikis persepsi rendah terhadap tingkatan enam.

Pelajar seharusnya didedahkan kepada hal ini ketika berada di tingkatan lima lagi.

Pelajar yang sudah memasuki tingkatan enam harus juga diberitahu mengenai hal ini agar mereka boleh mencongak arah tuju pendidikan mereka.

Ini perlu kerana ada di kalangan ini meninggalkan tingkatan enam apabila mereka ditawarkan untuk mengikuti program di universiti.

Pelajar yang mungkin khayal dengan perasaan glamor akan menerima tawaran tersebut tanpa mengambil kira kesan atau kepentingannya ke atas hala tuju pendidikan mereka.

Sesungguhnya tingkatan enam itu adalah asas penting untuk menjamin keberkesanan pembelajaran di menara gading.

Malah, berada di tingkatan enam itu sendiri merupakan pengalaman yang amat berharga.

KIRIMAN
KAMSILIN @ ABD HALIM RUSTIM
SMK St. Mary, Sandakan,
Sabah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum