Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 20 april 2001

Syed Jalaluddin -- Bersara bukan bercuti

MUKADIMAH
BAGI bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Tan Sri Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim yang bersara pada 17 April lalu, saat-saat terindah dalam hidupnya ialah ketika berada di universiti dan memberi sumbangan untuk pembangunan masyarakat.

Universiti menjadi keutamaan dalam hidupnya sehinggakan keluarga menjadi perkara kedua.

Malah, sejak 18 tahun berada di canselori UPM, beliau mengakui orang yang sering terabai dan diketepikan akibat cintanya yang mendalam terhadap universiti itu ialah dirinya sendiri.

Justeru, beliau mahu berehat dan menggunakan masa bersaranya untuk melakukan perkara-perkara yang selama ini tidak dapat dilakukan kerana kesibukan kerja.

Untuk itu, beliau bertekad tidak akan memegang apa-apa jawatan tetap selepas bersara.

Ikuti wawancara wartawan Pendidikan, Zalina Yahaya dengan anak kelahiran Perlis ini mengenai pengertian dunia persaraan yang kini sedang ditempuhinya.

Soalan (S): Apa makna persaraan bagi Prof.?

Dr. Syed Jalaluddin (DSJ): Saya nak berehat, tetapi pada masa yang sama, saya mahu menggunakan kepakaran yang ada pada saya selagi upaya.

Bersara bukan bermakna kita bercuti dan tidak berbuat apa-apa dan terus mendiamkan diri.

Bila anda sudah bersara, jangan buat orang sangka kita sudah tiada lagi.

Saya akan terus membantu negara ini supaya mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidang sosial dan ekonomi. Walaupun tiada gaji, saya rela.

S: Bagaimana dengan dunia politik atau perniagaan?

DSJ: Saya tidak berminat untuk menjadi orang politik atau ahli perniagaan.

Saya juga tidak mengejar anugerah kerana sebagai seorang ahli akademik, jawatan Naib Canselor adalah anugerah tertinggi yang saya perolehi.

Ini adalah pengiktirafan tertinggi bagi saya.

S: Bagaimana pula harapan Prof. terhadap universiti ini pada masa hadapan?

DSJ: Harapan saya, tradisi universiti ini sebagai universiti yang aktif dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) diteruskan dan warga UPM juga perlu terus sambung untuk bekerja keras.

Saya tidak ragu dengan harapan ini kerana tradisi UPM (R&D dan kerja keras) sudah ada.

Saya juga berharap UPM akan terus berjaya menjadi institusi penyelidikan yang unggul dan mempunyai hubungan baik dengan pihak-pihak industri.

Sesiapa sahaja yang akan mengambil alih tempat saya pasti akan membawa universiti ini ke tahap yang lebih tinggi.

S: Bagaimana dengan tawaran jawatan-jawatan selepas persaraan.

DSJ: Saya sebenarnya tidak mahu bekerja dengan sesiapapun selepas bersara. Saya tidak mahu mempunyai kerja tetap lagi.

Bagaimanapun, saya akan terus terlibat dengan UPM. Sumbangan saya adalah sumbangan sebagai seorang bekas Naib Canselor.

Lembaga Universiti telah pun memutuskan untuk melantik saya sebagai Profesor Emiretus. Saya akan mempunyai bilik sendiri di UPM. Saya boleh terus memberi nasihat jika diperlukan.

S: Pada pendapat Prof. apakah sumbangan terbesar dan bermakna yang pernah diberikan sepanjang berkhidmat sebagai Naib Canselor.

DSJ: Tidak ada sesuatu yang spesifik, tetapi saya bersyukur kerana selama berada di sini, saya berjaya membangunkan UPM sebagai pusat pendidikan bermutu di rantau ini.

Ini sebenarnya susah untuk dilakukan kerana ia memerlukan perancangan yang rapi dan teliti.

Tujuh tahun lalu UPM hanya mempunyai 10,000 pelajar, tetapi kini bilangan pelajar sepenuh masanya ialah 30,000 orang.

Daripada aspek R&D, pensyarah-pensyarah UPM sentiasa mendapat kemenangan di pertandingan-pertandingan antarabangsa. Yang terbaru ialah di pameran antarabangsa di Geneva.

Enam daripada tujuh penyertaan UPM menerima anugerah.

UPM juga sudahpun mencapai tahap universiti penyelidikan.

Dari segi rangking, UPM berada di kedudukan yang teratas di antara universiti-universiti di Asia.

S: Selepas melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor, adakah Prof. pernah merasa terkilan kerana tidak sempat atau tidak mampu melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan?

DSJ: Kita tidak boleh menyesal. Selalunya, kita mahu melakukan lebih daripada apa yang sepatutnya. Tetapi mungkin 80 hingga 90 peratus sahaja yang tercapai.

S: Bagi Prof. sendiri, berapa peratuskah kejayaan yang telah dicapai sehingga kini berbanding dengan apa yang dirancang.

DSJ: Susah untuk mengukur kerana saya tidak boleh mengaku ia adalah kejayaan peribadi saya.

Sesuatu kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha bersama. Kita perlu bekerjasama dengan semua warga universiti.

Apa yang boleh saya katakan, pencapaian UPM hari ini adalah melebihi apa yang saya anggarkan semasa saya mula-mula bekerja dahulu.

Saya tidak sangka UPM boleh pergi sejauh ini.

Contohnya, dulu tidak ada Fakulti Perubatan, tetapi kini, ia telah berkembang pesat. Bilangan pelajar pasca siswazah dulunya hanya 500 orang. Kini jumlahnya mencapai 6,000.

S: UPM ditukar namanya daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia semasa Prof. menjadi VC. Tidakkah Prof. bimbang, Prof. akan dikenang oleh generasi akan datang sebagai orang yang bertanggungjawab membuang identiti satu-satunya universiti pertanian di negara ini.

DSJ: Bidang pertanian masih kekal di UPM. Malah fokus utama UPM ialah untuk menjadi universiti penyelidikan pertanian yang utama.

Kita juga telah mengembangkan peluang-peluang untuk masyarakat mendalami ilmu pertaniannya.

Kemasukan saluran kedua diperkenalkan untuk mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian. Pengajian ditawarkan di peringkat diploma, ijazah dan pasca siswazah.

S: Apakah yang diharapkan daripada bakal pengganti Prof.

DSJ: Saya tidak boleh arahkan supaya pengganti saya meneruskan segala perancangan yang dibuat selama ini. Terpulang kepada beliau untuk menentukan apa yang baik.

Beliau bebas untuk membaiki di mana perlu dan mungkin juga tidak meneruskan apa yang telah dibuat jika dia mendapati ia tidak mendatangkan faedah, asalkan niatnya adalah baik dan untuk kepentingan bersama.

S: Ada spekulasi pengganti prof. adalah seorang wanita. Bagaimana penerimaan prof.?

DSJ: Kita menerima sesiapa sahaja untuk menjadi Naib Canselor tanpa mengira jantina.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum